BEIJING, 22 APRIL – Pasukan penyelidik dari Universiti Tsinghua di Beijing telah mencipta suatu alat penggerak atau actuator berskala kecil berbentuk filem nipis yang membolehkan robot mikro mengubah bentuk dan ‘mengunci’ bentuknya secara berterusan dalam konfigurasi tertentu.
Keadaan ini sama seperti dalam filem robot Transformers dan kejayaan ini telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa terkemuka, Nature Machine Intelligence.
“Dengan menyepadukan actuator ini dengan strategi reka bentuk yang diilhamkan oleh mainan Lego, kami berjaya mencipta robot mikro terkecil dan paling ringan dengan ukuran hanya 9 sentimeter panjang dan seberat 25 gram,” kata Zhang Yihui dari Sekolah Kejuruteraan Aeroangkasa Elektronik Universiti Tsinghua.
Actuator yang seperti ‘jantung’ kepada robot mikro berkenaan, ialah peranti dengan keupayaan berubah bentuk yang boleh dikawal.
“Membangunkan robot mikro ultra-kompak seperti ini adalah amat mencabar,” jelas Zhang.
Dengan reka bentuk struktur bahan sinergistik yang inovatif, pasukan Zhang mencipta actuator sekecil beberapa milimeter yang berfungsi sebagai ‘eksoskeleton boleh berubah’ dan boleh digabungkan dengan komponen elektronik lain seperti penderia dan motor untuk membina sistem robotik yang kompleks.
Terutamanya apabila ia boleh dikawal secara elektrik untuk terus berubah menjadi sebarang bentuk yang diingini dan kemudian ‘mengunci’ konfigurasi tersebut. Sesuatu yang sukar dicapai dengan actuator berskala kecil sebelumnya.
“Dengan reka bentuk begini, robot mikro kami mampu terbang dan mendarat dengan tangkas dengan kelajuan sehingga 1.6 meter sesaat di atas tanah,” kata Zhang.
Penyelidikan berkenaan boleh menawarkan idea baharu untuk pembangunan robot mikro. “Aplikasi masa hadapan termasuk diagnostik peralatan, tinjauan geologi dan operasi persekitaran yang berbahaya,” kata Zhang. “Actuator ini juga boleh digunakan dalam peranti bio-elektronik, membolehkan pembangunan implan yang boleh digunakan dan sebegai antara muka haptik VR/AR.” – Xinhua
