BEIJING, 6 FEB – Saintis di Universiti Westlake, China, telah memperkenalkan teknologi sel solar ultra nipis dan fleksibel dengan kecekapan penukaran tenaga mencecah 23.4 peratus, lapor akhbar Science and Technology Daily hari ini.
Sel solar itu, setebal diameter rambut manusia, menggabungkan lapisan perovskit dan tembaga indium galium selenida (CIGS), menjadikannya sesuai untuk pelbagai aplikasi seperti peranti boleh pakai, permukaan bangunan melengkung, kenderaan elektrik dan aeroangkasa.
Pasukan penyelidik yang diketuai Profesor Wang Rui dari Sekolah Kejuruteraan dan Pusat Penyelidikan Industri Masa Depan menerbitkan penemuan mereka dalam jurnal Nature Photonics.
Menurut Wang, sel solar tandem mengatasi had kecekapan sel tunggal konvensional dengan menggabungkan dua bahan penyerap cahaya. “Reka bentuk ini menyerupai kek berlapis, dengan setiap lapisan menangkap panjang gelombang cahaya tertentu untuk memaksimumkan penjanaan tenaga,” katanya, sambil menambah bahawa produk akhir terdiri daripada sehingga 15 lapisan, masing-masing mempunyai ketebalan dan keseragaman.
Pembangunan sel itu bermula pada 2022 tetapi menghadapi cabaran utama dalam membentuk lapisan perovskit yang licin di atas permukaan CIGS.
Percubaan awal menghasilkan lapisan berlubang yang menjejaskan prestasi. Pada akhir 2023, penyelidik Tian Liuwen dan Wang menukar kaedah pemendapan perovskit, akhirnya berjaya mencipta lapisan seragam yang meningkatkan kecekapan sel.
Teknologi itu dijangka digunakan dalam pelbagai sektor termasuk seni bina, automotif, aeroangkasa dan peranti fleksibel. Selain itu, sifatnya yang ringan mengurangkan kos pengangkutan dan pemasangan berbanding panel konvensional. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-3CWEB-XINHUAl_07022025.jpg)