HARBIN, 14 FEB – Saintis-saintis China telah mencipta prototaip robot kelas baharu rentas domain udara dan daratan, direka untuk misi seperti penerokaan Marikh.
Robot yang hanya seberat 300 gram, kira-kira seberat sebiji epal itu mampu bergolek di atas tanah dan terbang melepasi halangan. Ia dicipta oleh pasukan penyelidik di Harbin Institute of Technology (HIT), di Harbin, Provinsi Heilongjiang, timur laut China.
Pasukan penyelidik itu telah membangunkan pelbagai versi robot udara dan daratan, mencapai masa ketahanan enam kali lebih lama berbanding kenderaan udara tanpa pemandu bersaiz sama.
Robot-robot itu juga boleh digunakan untuk menjalankan tugas seperti pemantauan, penyiasatan dan penyelenggaraan. Robot itu dicipta dalam pelbagai bentuk, seperti reka bentuk dua roda atau sfera.
Robot itu juga boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis rupa bumi dan turut dilengkapi dengan pemanipulasi untuk melakukan tindakan seperti memutar atau menekan.
Zhang Lixian, seorang profesor di HIT, berkata, “Reka bentuk prototaip kini telah selesai.
Berbanding dengan kenderaan penerbangan Marikh yang sedia ada, robot dengan kemampuan rentas domain udara dan daratan itu akan mencatat prestasi yang lebih baik dari segi fungsi dan ketahanan.”
“Diharapkan robot itu juga boleh digunakan dalam tugas penerokaan di persekitaran bawah tanah seperti lombong arang batu, lorong paip dan stesen kereta api bawah tanah,” tambah Zhang. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-4DXINHUA_15022025.jpg)