CREMONA, ITALI, 26 OGOS – Telur-telur yang diambil dari dua ekor badak putih utara betina yang terakhir telah disenyawakan dengan sperma badak jantan terakhir yang sudah mati, namun ia akan diketahui dalam masa 10 hari sama ada telur itu akan menjadi embrio, kata syarikat pembiakan yang dibantu Itali hari ini.
“Kami menjangkakan beberapa daripada telur-telur tersebut akan berkembang menjadi embrio,” kata pengasas Avantea dan pakar dalam pengklonan haiwan, Cesare Galli.
Avantea berkata hanya tujuh daripada 10 telur itu diekstrak minggu lalu dari badak betina di Kenya yang boleh digunakan dalam percubaan persenyawaan menggunakan sperma beku yang telah diambil dari badak jantan yang mati pada Mac 2018.
Pakar hidupan liar dan doktor haiwan berharap spesies itu boleh dibiakkan menerusi badak lain.
Badak jantan berusia 45 tahun yang dinamakan Sudan menjadi terkenal pada 2017 dengan senarainya sebagai ‘The Most Eligible Bachelor in the World’ dalam aplikasi dating Tinder bagi usaha pengumpulan dana. Sudan telah di eutanasia selepas komplikasi berkaitan usia.
Berdekad-dekad pemburuan haram telah mengecilkan bilangan badak putih utara. Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan ternakan kira-kira lima ekor yang boleh dipulangkan ke habitat asalnya di Afrika yang mungkin mengambil masa berdekad-dekad lamanya. – AFP
