BOSTON, 19 SEPT – Sekumpulan 11 saintis dari Jepun memenangi Anugerah Ig Nobel dalam kategori biologi kelmarin, menerusi kajian mereka yang menunjukkan melukis belang seperti kuda belang pada badan lembu secara signifikan mengurangkan jumlah lalat penghisap darah yang hinggap ke atas haiwan itu.
Menurut agensi berita Kyodo, pencapaian itu, yang diraikan dalam satu majlis di Boston, menandakan tahun ke-19 berturut-turut sekurang-kurangnya seorang rakyat Jepun tersenarai sebagai pemenang anugerah yang dianjurkan oleh Annals of Improbable Research, sebuah majalah sains humor yang memperkenalkan anugerah tahunan itu sejak 1991 sebagai parodi kepada Hadiah Nobel yang berprestij.
Majalah itu menyatakan yang anugerah berkenaan bertujuan menghargai penemuan saintifik yang ‘pada awalnya membuat orang ketawa dan kemudian membuat mereka berfikir.’ Sepuluh anugerah diberikan setiap tahun bagi penyelidikan mengejutkan dalam pelbagai kategori. Pemenang lain tahun ini termasuk kajian tentang pilihan piza oleh cicak dan kesan kasut berbau.
Menurut kajian yang diterbitkan pada 2019 itu, mewarnakan lembu dengan corak belang hitam dan putih boleh membantu mengurangkan kerugian ekonomi akibat lalat penghisap darah.
Kehadiran lalat boleh mengganggu lembu daripada meragut, makan dan berehat, selain meningkatkan risiko kecederaan dengan kerugian kepada industri lembu di AS dianggarkan mencecah AS$2.2 bilion setahun. – Bernama


