Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis jumpa biopenanda baharu bantu rawat kanser ovari

    CANBERRA, 27 OKT – Saintis di Australia menemukan biopenanda baharu yang boleh membantu mengesan dan merawat kanser ovari dan boleh meningkatkan hasil dengan ketara bagi wanita yang didiagnosis penyakit agresif itu.

    Penemuan itu dibuat oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Australia Selatan (UniSA), yang mengenal pasti sejenis reseptor pada permukaan sel dinamakan F2R.

    Reseptor itu didapati sangat aktif dalam tisu kanser ovari, terutamanya pada pesakit yang penyakitnya telah merebak atau tidak lagi memberi tindak balas terhadap rawatan kemoterapi.

    Ketua penyelidik, Hugo Albrecht berkata penemuan ini penting kerana kebanyakan biopenanda sedia ada tidak cukup sensitif untuk mengesan kanser ovari pada peringkat awal.

    “F2R mungkin menjadi kunci baharu untuk membantu doktor membuat diagnosis lebih tepat dan membangunkan rawatan peribadi bagi pesakit kanser yang sukar dirawat,” katanya.

    Kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Molecular Sciences itu turut mendapati pesakit yang mempunyai tahap F2R lebih tinggi cenderung mempunyai jangka hayat lebih pendek, menekankan nilainya sebagai penunjuk prognostik.

    Namun, apabila aktiviti F2R dikurangkan, sel kanser menjadi kurang agresif dan lebih mudah dirawat dengan ubat kemoterapi seperti carboplatin.

    Kanser ovari merupakan antara penyakit paling berbahaya bagi wanita di seluruh dunia, dengan lebih 200,000 kematian setiap tahun, kebanyakannya kerana dikesan pada peringkat lewat selepas kanser merebak ke bahagian lain badan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda