WASHINGTON, 24 JAN – Labah-labah laut boleh menumbuhkan semula bahagian badan selepas dipotong, menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini yang mungkin membuka jalan untuk penyelidikan saintifik lanjut mengenai penjanaan semula.
“Tiada siapa yang menjangkakan ini,” kata Gerhard Scholtz dari Universiti Humboldt di Berlin, pengarang kanan kajian yang diterbitkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences. “Kami adalah orang pertama yang berjaya membuktikan perkara ini.”
Pelbagai jenis artropod seperti lipan, labah-labah dan serangga lain boleh menumbuhkan semula anggota badan yang hilang.
“Ketam juga boleh secara automatik memutuskan anggota badannya jika diserang,” kata Scholtz. “Ia akan menggantikannya dengan anggota badan yang baharu.”
Apa yang penyelidik dapati dalam eksperimen mereka dengan labah-labah laut berkaki lapan kecil berkenaan ialah ia mampu menjana semula bahagian badan selain anggota badan.
Dalam kajian itu, mereka memotong anggota belakang yang berbeza dan bahagian belakang 23 labah-labah laut yang tidak matang dan dewasa dan memantau hasilnya.
Tiada pertumbuhan semula bahagian badan dalam labah-labah laut dewasa tetapi sebahagian daripadanya masih hidup dua tahun kemudian.
Labah-labah yang belum matang, sebaliknya, mengalami pertumbuhan semula lengkap atau hampir lengkap bahagian badan yang hilang termasuk usus belakang, dubur, otot, dan bahagian organ pembiakan.
Sekitar 90 peratus daripada labah-labah laut terselamat dalam jangka masa panjang dan 16 daripada labah-labah muda bersalin kulit sekurang-kurangnya sekali.
Pertumbuhan semula bahagian belakang diperhatikan dalam 14 daripada labah-labah muda manakala tiada spesimen dewasa yang bersalin kulit.
Keupayaan penjanaan semula berbeza-beza bagi semua haiwan. Cacing pipih, sebagai contoh, boleh menumbuhkan semula badannya hanya dari beberapa sel.
Vertebrata, termasuk manusia, hampir tidak mempunyai keupayaan penjanaan semula dengan beberapa pengecualian seperti cicak yang boleh menumbuhkan semula ekor. – AFP