PARIS, 25 JULAI – Fenomena pasang surut laut boleh mencetuskan bongkah ais sebesar bandar terpisah dari pentas ais Antartika, menurut saintis kelmarin, sekali gus membuka peluang untuk meramal peristiwa dramatik ini pada masa hadapan.
Biasanya sukar untuk meramal bila bongkah ais akan terpisah atau calve meskipun waktu adalah sangat penting kerana ia mengubah bentuk lapisan ais dan memberi kesan kepada paras laut global.
Namun bagi ahli glasiologi Oliver Marsh, apabila sebahagian besar pentas ais Brunt retak dan menghasilkan gunung ais seluas 550 kilometer persegi bersamaan keluasan Greater London pada 2023, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Marsh memberitahu AFP beliau telah menjangkakan pemecahan aisberg besar itu akan berlaku ‘dalam minggu atau bulan terdekat’.
Marsh telah menjalankan kajian bertahun-tahun terhadap rekahan besar yang akhirnya menghasilkan gunung ais A81.

Seperti yang dijangka, peristiwa pelepasan itu berlaku sewaktu air pasang musim bunga, iaitu ketika perbezaan antara pasang dan surut paling tinggi.
Kajian terbaharu yang diketuai Marsh diterbitkan dalam Nature Communications kelmarin menggunakan model simulasi untuk menunjukkan pemisahan ais dicetuskan pasang surut air laut, bersama tiupan angin kencang dan tekanan pada ais.
Selepas A81 terpisah, Marsh yang melakukan tinjauan di lokasi menyifatkan pemanda-ngan laut terbuka yang menggantikan ais luas itu sebagai sesuatu yang ‘menyedihkan’ untuk disaksikan.
Bongkah ais A81 kini hanyut ke arah timur Semenanjung Antartika menuju ke Laut Weddell dan berkemungkinan mendekati Pulau South Georgia, kawasan pembiakan penting bagi penguin, anjing laut dan hidupan liar yang lain.
Buat masa ini, aisberg terbesar dunia, A23a, turut dilaporkan terdampar berhampiran South Georgia tetapi tidak dijangka mengancam hidupan liar.
Bagaimanapun, Marsh menjangkakan A23a kini semakin terancam akibat hempasan ombak Lautan Selatan. – AFP