Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Para penggemar angkasa lepas, penyelidik dan pelajar telah berpeluang menimba pengetahuan menerusi ceramah umum bertajuk Shaping a Sustainable Future for Humanity: A Journey to Jupiter, Saturn and Their Moons Through the Eyes of the Scientists of Cassini and Juice Missions yang diadakan di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusuf.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Hannah Doyle selaku wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Ceramah berkenaan telah membincangkan penerokaan Musytari, Zuhal dan bulan-bulan, seperti yang diterokai oleh para saintis di sebalik misi Cassini dan Jupiter Icy moons Explorer (Juice).
Sesi ceramah itu telah disampaikan oleh saintis yang dihormati daripada misi Cassini dan Juice, termasuk Profesor Jani Radebaugh, Dr Anezina Solomonidou dan Dr Rosaly Lopes, yang terlibat dalam pelbagai projek National Aeronautics and Space Administration (NASA) dan European Space Agency (ESA).


Dalam pada itu, mereka berkongsi pengalaman pertama mereka dan penyelidikan canggih tentang keajaiban sistem suria luar, memberikan pandangan unik tentang penerokaan bulan-bulan tersebut.
Para penceramah juga berinteraksi dengan para hadirin sekali gus menyediakan platform untuk bertanya soalan yang merangsang pemikiran dan mencetuskan perbincangan menarik mengenai pelbagai aspek penerokaan angkasa lepas, kelestarian dan potensi untuk misi masa depan.
Sehubungan itu, UBD sedang meneroka kemungkinan menganjurkan acara sedemikian pada masa hadapan, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mempromosikan penerokaan angkasa lepas, penyelidikan saintifik dan kesedaran kelestarian.

