WELLINGTON, 29 OGOS – Saintis New Zealand telah berusaha menyelamatkan kakapo, burung nuri New Zealand yang tidak boleh terbang dan aktif pada waktu malam serta terancam secara kritikal, melalui penjujukan genom, lapor Xinhua.
Saintis telah menyusun genom 169 ekor kakapo, hampir menyamai jumlah individu yang masih hidup ketika penyelidik memulakan kajian pada 2018, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini dalam jurnal antarabangsa Nature Ecology and Evolution.
Penjujukan berkualiti tinggi hampir keseluruhan populasi kakapo, yang dibiayai melalui projek Genomics Aotearoa Universiti Otago, membantu New Zealand menguruskan kesihatan spesies yang diancam kepupusan itu.
Dengan menganalisis DNA burung itu secara mendalam, saintis kini boleh meramalkan dengan lebih baik punca di sebalik penurunan jumlah kakapo, seperti kelemahan genetik kepada penyakit atau isu pembiakan, menurut kajian itu.
Penyelidik berkata teknik canggih itu juga boleh berfungsi sebagai pelan tindakan pemuliharaan untuk spesies terancam lain. – Bernama
