Thursday, July 4, 2024
30 C
Brunei

    -

    Saintis NZ tandakan jerung pantau perubahan iklim

    WELLINGTON, 20 JUN – Para saintis New Zealand (NZ) sedang mengkaji jerung di bahagian paling selatan negara itu untuk memahami kesan perubahan iklim.

    Jerung ialah pemangsa tertinggi yang memainkan peranan penting dalam ekosistem dan boleh menjadi penunjuk kesihatan persekitaran, kata saintis perikanan Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera (NIWA), Brit Finucci pada hari ini.

    Pasukan dari NIWA dan Universiti Victoria Wellington menghabiskan masa seminggu di Fiordland, Pulau Selatan NZ untuk memasangkan pemancar ke jerung jenis sevengill broadnose untuk mengesan tingkah laku dan pergerakan mereka.

    Projek yang dibiayai oleh Yayasan Save Our Seas itu menyaksikan 11 jerung ditandakan dan penyelam turut memasang 29 penerima akustik di dasar laut.

    Tag itu akan menghantar data sehingga 10 tahun akan datang dan penerima yang diletakkan di dasar laut akan mengumpul data setiap kali jerung berenang berhampirannya, kata Finucci.

    Pasukan itu akan kembali ke Fiordland setiap enam bulan untuk mengumpulkan data daripada penerima. Mereka akan memantau maklumat jangka pendek dan jangka panjang tentang pergerakan haiwan itu untuk memahami tingkah lakunya dan bagaimana ini mungkin berubah.

    Jerung spesies broadnose sevengill yang terancam secara global itu biasanya dijumpai di Fiordland dengan panjangnya mencapai lebih 2.5 meter. Aktiviti memancing telah mengurangkan bilangan jerung di beberapa lokasi.

    Bagaimanapun, sedikit yang diketahui tentang kesan perubahan iklim terhadap kesihatan dan populasi haiwan ini, kata Finucci. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...