Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis temui alternatif perubatan bagi masalah mandul

    PARIS, 1 OKT – Para saintis mengumumkan mereka berjaya menukar sel kulit manusia menjadi telur dan mensenyawakannya dengan sperma di makmal buat pertama kali, satu pencapaian besar yang diharapkan suatu hari nanti dapat membantu individu mandul memperoleh zuriat.
     
    Bagaimanapun, pasukan penyelidik yang diketuai Amerika Syarikat (AS) itu memberi amaran teknologi itu masih memerlukan masa bertahun-tahun sebelum berpotensi tersedia untuk bakal ibu bapa.
     
    Pakar luar menyifatkan kajian bukti-konsep ini mampu mengubah makna kemandulan, yang kini menjejaskan seorang daripada enam orang di seluruh dunia.
     
    Jika berjaya, teknologi yang dinamakan in-vitro gametogenesis (IVG) ini akan membolehkan wanita berusia atau mereka yang tidak mempunyai telur kerana sebab lain untuk menghasilkan zuriat secara genetik, kata Paula Amato, pengarang bersama kajian baharu yang mengumumkan pencapaian itu, kepada AFP.
     
    “Ia juga berpotensi membolehkan pasangan sejenis mempunyai anak yang berkait rapat secara genetik dengan kedua-dua pasangan,” jelas Amato, seorang penyelidik di Oregon Health & Science University, AS.
     
    Gambar Freepik
    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bidang berkenaan mencatat kemajuan pesat, termasuk pengumuman penyelidik Jepun pada Julai lalu bahawa mereka berjaya mencipta tikus dengan dua bapa biologi. Namun, kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications menandakan perkembangan besar kerana menggunakan DNA manusia, bukan tikus.
     
    Para saintis terlebih dahulu mengeluarkan nukleus daripada sel kulit biasa lalu memindahkannya ke dalam telur penderma yang nukleusnya telah dibuang. 
     
    Teknik ini, dikenali sebagai pemindahan nukleus sel soma, pernah digunakan untuk mengklon kambing biri-biri Dolly pada 1996.
     
    Namun cabaran utama adalah sel kulit mempunyai 46 kromosom, sedangkan telur hanya mempunyai 23.
     
    Saintis berjaya membuang kromosom berlebihan itu melalui proses yang mereka namakan ‘mitomeiosis’, yang meniru cara sel membahagi secara semula jadi.
     
    Sebanyak 82 telur yang sedang berkembang, dikenali sebagai oosit, berjaya dicipta dan kemudian disenyawakan dengan sperma melalui proses persenyawaan in vitro (IVF).
     
    Selepas enam hari, kurang daripada sembilan peratus embrio berkembang sehingga ke tahap di mana ia secara hipotesis boleh dipindahkan ke rahim untuk proses IVF standard. Namun embrio-embrio tersebut menunjukkan pelbagai ketidaknormalan, menyebabkan eksperimen dihentikan.
     
    Walaupun kadar sembilan peratus itu rendah, penyelidik menekankan bahawa dalam pembiakan semula jadi, hanya sekitar satu pertiga embrio yang berjaya mencapai tahap ‘blastosis’ yang sesuai untuk IVF. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda