Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis temui peralatan tulang berusia 1.5 juta tahun

    PARIS, 6 MAC – Nenek moyang kita telah menggunakan tulang sebagai peralatan sejak 1.5 juta tahun lalu, sekali gus mengubah garis masa bagi detik penting dalam evolusi manusia lebih daripada sejuta tahun, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.

    Manusia purba yang juga dikenali sebagai hominin, seperti Australopithecus yang bebadan tegap, diketahui menggunakan serpihan tulang untuk menggali ubi daripada busut
    anai-anai.

    Sehingga kini, cimpanzi, saudara terdekat manusia, masih menggunakan ranting kayu untuk tujuan yang sama bagi mendapatkan anai-anai sebagai sumber makanan.

    Lebih dua juta tahun lalu, hominin telah menggunakan alat batu kasar di Olduvai Gorge, Tanzania, salah satu tapak prasejarah terpenting di dunia.

    Namun, tiada bukti yang menunjukkan penggunaan peralatan tulang secara sistematik lebih awal daripada 500,000 tahun lalu sehingga kini.

    Di Olduvai, pasukan penyelidik yang diketuai oleh saintis dari Sepanyol telah menemui 27 alat yang diperbuat daripada tulang kaki dan lengan mamalia besar, terutamanya gajah dan kuda nil.

    Penemuan itu “membuka perspektif baharu terhadap dunia teknologi tulang hominin awal yang hampir tidak diketahui,” menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature.

    Bagi pemerhati biasa, alat-alat itu mungkin kelihatan seperti cebisan tulang rawak.

    Namun, bagi para penyelidik, ia adalah bukti kebolehan kognitif luar biasa nenek moyang manusia, menunjukkan mereka mampu memilih bahan yang sesuai dan mengolahnya mengikut keperluan mereka. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda