KANCHANABURI, THAILAND, 13 OGOS – Penyelidik di Thailand melakukan trekking di kawasan pedalaman untuk menangkap kelawar dalam gua-gua dalam usaha menjejaki asal usul koronavirus.
Penyelidikan awal mendapati kelawar adalah punca virus yang menjangkiti lebih daripada 20.5 juta orang dan mengakibatkan kematian lebih daripada 748,000 di seluruh dunia, menurut data Universiti John Hopkins. Padanan paling hampir dengan koronavirus ditemui dalam kelawar ladam di Yunnan, selatan China.
Thailand mempunyai 19 spesies kelawar ladam namun penyelidik mengatakan ia belum lagi diuji bagi koronavirus baharu itu.
Penyelidik Thai mendaki bukit di Taman Negara Sai Yok di wilayah selatan Kanchanaburi untuk memerangkap sekitar 200 ekor kelawar dari tiga buah gua berlainan.
Pasukan dari Pusat Jangkitan Penyakit-Sains Kesihatan Baharu Palang Merah Thailand mengambil sampel air liur, darah dan najis daripada kelawar (gambar bawah) sebelum membebaskannya.
Mereka bekerja siang dan malam mengambil sampel bukan sahaja daripada patogen kelawar ladam, malah daripada spesies kelawar lain yang mereka tangkap dalam usaha memahami patogen dibawakan haiwan itu. – AP