MANILA, 31 OGOS – Seorang saintis Bangladesh yang membantu membangunkan vaksin oral murah membasmi kolera, seorang perintis mikrokewangan Pakistan dan seorang nelayan Filipina hari ini merupakan antara pemenang hadiah Asia yang setara dengan Hadiah Nobel.
Firdaus Qadri, 70, merupakan salah seorang penerima Anugerah Ramon Magsaysay – dinamakan sempena nama presiden Filipina yang terbunuh dalam satu nahas pesawat – atas ‘dedikasi sepanjang hayat terhadap profesion saintifik’ dan ‘sumbangan tidak pernah kendur bagi pembangunan vaksin.’
Bekerja di Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Penyakit Cirit-birit di ibu negara Bangladesh, Dhaka, Qadri memegang ‘peranan utama’ dalam mencipta lebih banyak vaksin lebih murah bagi menangani kolera dan tifoid, menurut yayasan anugerah berpangkalan di Manila itu dalam satu kenyataan.
Qadri juga memainkan peranan penting dalam usaha pemvaksinan besar-besaran di kem pelarian Rohingya di daerah Cox’s Bazar dalam masa beberapa tahun kebelakangan yang mencegah wabak kolera.
Manakala penerima anugerah dari Pakistan, Muhammad Amjad Saqib, 64, merupakan pemenang bagi program ‘pertama seumpamanya’ bagi program mikrokewangan bebas kadar faedah dan cagaran yang membantu berjuta-juta keluarga.
Saqib yang mengguna tempat ibadah untuk memberi wang, dipetik bagi ‘inspirasi kepercayaan yang kebaikan manusia dan solidariti akan mampu membasmi kemiskinan.’
Seorang lagi penerima anugerah ialah nelayan Filipina, Roberto Ballon, 53, yang diiktiraf kerana membantu ‘menghidupkan industri perikanan hampir mati’ di pulau selatan Mindanao di mana kolam-kolam ikan memusnahkan hutan paya. – AFP