KUALA LUMPUR, 29 DIS – Ketua jurulatih ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki Malaysia, Mohd Saizul Hafifi Md Noor mengesahkan peletakan jawatan beliau berkuat kuasa 31 Disember ini, selepas lapan tahun menggalas tanggungjawab berkenaan.
Pengendali pasukan berusia 38 tahun itu berkata keinginan untuk kembali menyambung kerjaya sebagai guru Matematik di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor serta memberi tumpuan kepada keluarga menjadi antara sebab beliau me-ngundurkan diri.
“Saya sebenarnya sudah mohon peletakan jawatan daripada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) pada Oktober lepas namun mereka (KRM) menyuruh saya tunggu sehingga hujung tahun ini.
“Saya sebenarnya masih berminat untuk menjadi jurulatih skuad ragbi kebangsaan sekiranya ditawarkan lagi suatu hari nanti, namun bukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Saizul Hafifi turut menzahirkan kesyukuran kerana diberi kepercayaan mengemudi skuad Malaysia bermula 2015 sehingga mampu melakar sejarah membantu pasukan Malaysia merangkul pingat emas pertama dalam kategori lelaki ragbi 7s di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Terdahulu, KRM dalam kenyataan memaklumkan peletakan jawatan Mohd Saizul Hafifi sebagai ketua jurulatih ragbi 7s lelaki Malaysia selepas kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan KRM berakhir Sabtu ini dan merakamkan penghargaan di atas sumbangan beliau selama ini.
Namun, buat masa ini KRM masih belum memuktamadkan nama ketua jurulatih baharu, yang akan diperhalusi oleh Pengarah Kejurulatihan KRM, Lee Nyuk Fah bersama Pengarah Prestasi Tinggi KRM, Dr Ahmad Naim Ismail. – Bernama


