LAGOS, 16 SEPT – Rekod Dunia Guinness kelmarin secara rasmi telah mengiktiraf cef Nigeria, Hilda Baci, atas masakan nasi jollof terbesar di dunia di Lagos pada Jumaat lalu.
Baci meraikan pencapaian itu di platform X, di mana Guinness turut mengesahkan ‘hidangan nasi jollof gaya Nigeria seberat 8,780 kg itu adalah yang terbesar di dunia.’
“Kami lakukannya lagi,” kata Baci, merujuk kepada rekod terdahulunya pada 2023 apabila beliau mencatat maraton memasak selama 93 jam 11 minit, satu rekod yang kemudiannya dipecahkan oleh cef Ireland, Alan Fisher.
Pengiktirafan tersebut menjadi hadiah awal hari lahirnya yang ke-30 pada hujung minggu ini, setelah usaha beliau menyediakan hidangan tersebut selama berjam-jam dan memasaknya dalam periuk selebar enam meter itu membuahkan hasil.
Beliau menggunakan kira-kira lima tan beras basmati, 600 kilogram bawang, 750 kilogram minyak masak dan kuah berasaskan tomato, dengan kira-kira 8,000 orang bersorak memberi sokongan.
Hidangan popular Afrika Barat itu menampilkan nasi dimasak perlahan dalam kuah tomato, bersama daging atau ikan, meskipun terdapat pelbagai versi di seluruh benua.

Nasi jollof yang berasal dari empayar purba Wolof itu meliputi kawasan yang kini dikenali sebagai Senegal, Mauritania dan Gambia.
Pada abad ke-14, rantau itu terkenal dengan penanaman padi dan masyarakatnya menyediakan hidangan nasi bersama ikan, makanan laut dan sayur-sayuran yang dikenali sebagai thiebou dieune.
Dengan penghijrahan masyarakat Wolof ke seluruh Afrika Barat, tradisi kulinari itu turut tersebar.
Namun, hari ini wujud persaingan sengit jollof, khususnya antara Nigeria dan Ghana, yang kedua-duanya mendakwa mempunyai resipi terbaik.
Namun pada 2021, varian dari Senegal telah mendapat tempat dalam Senarai Warisan Budaya UNESCO. – AFP






