LONDON, 10 OKT – Jaringan menakjubkan Bukayo Saka dan gol antarabangsa pertama Morgan Rogers mengilhamkan England meraih kemenangan 3-0 ke atas Wales, namun Thomas Tuchel mengecam penyokong yang ‘senyap’ dalam aksi persahabatan kelmarin.
Skuad bimbingan Tuchel mempamerkan aksi dominan buat kali kedua berturut-turut untuk mengekalkan momentum positif selepas kemenangan besar 5-0 ke atas Serbia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia bulan lalu.
Rogers membuka jaringan untuk England pada separuh masa pertama di Stadium Wembley, dan rakan sepasukannya di Aston Villa, Ollie Watkins, menggandakan kelebihan tidak lama kemudian.
England terus menguasai permainan, dan pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka, menjaringkan gol tercantik malam itu menerusi rembatan kencang dari jarak jauh.
Sebuah persembahan bergaya seperti yang dijanjikan bekas pengurus Bayern Munich dan Chelsea itu sejak mengambil alih tugas daripada Gareth Southgate.
Walaupun pengurus dari Jerman itu bergelut pada awal tempoh tugasnya, England kini jelas semakin serasi di bawah pimpinannya.
Namun, Tuchel berpendapat persembahan England sepatutnya mendapat sorakan lebih lantang daripada penyokong, sambil menyindir suasana hambar di Wembley.
“Kami sudah mendahului 3-0 dalam perlawanan derbi. Saya harap ada lebih sokongan ketika pasukan melalui fasa sukar,” katanya.
“Stadium sunyi. Kami tidak mendapat tenaga balas daripada penyokong. Kami sudah lakukan segala-galanya untuk menang,” tambahnya.
Kelayakan England ke Piala Dunia tahun depan hampir pasti selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan K.
Mereka boleh mengesahkan tempat dengan kemenangan ke atas Latvia pada Selasa, bergantung kepada keputusan lain dalam beberapa hari akan datang. – AFP


