TOKYO – Apabila David Ha menubuhkan sebuah syarikat AI di Jepun bersama bekas rakan sekerjanya dari Google, mereka berdepan pilihan membangunkan satu lagi alat gergasi yang menggunakan tenaga besar seperti ChatGPT, atau mencipta hala tuju sendiri.
Sejak dilancarkan pada 2023, nilai firma mereka, Sakana AI, melonjak melepasi AS$1 bilion, menjadikannya syarikat pemula terpantas di Jepun yang mencapai status unicorn.
“Dalam bidang seperti AI, semua orang seakan melakukan perkara yang sama. Mereka hanya mengumpulkan data seluruh dunia, membina model gergasi, dan menyedut semua tenaga ini,” kata Ha kepada AFP.
Bagi sebuah usaha baharu, “peluang untuk berjaya sebenarnya agak rendah, khususnya di Jepun,” di mana sumber untuk mengendalikan pusat data yang memakan tenaga amat terhad.
Daripada bersaing secara terus dengan pemain utama seperti OpenAI atau Alibaba, Sakana memilih untuk menggabungkan sistem sedia ada dan baharu, besar dan kecil, bagi membangunkan apa yang mereka sebut sebagai ‘kecerdasan kolektif’.




Di banyak negara, “orang ramai membahaskan, patutkah saya menggunakan model China atau model AS?” kata Ha, merujuk kepada model asas AI yang dilatih menggunakan data dalam jumlah besar.
Namun dalam dunia hari ini yang penuh ketidakpastian, “awda boleh bayangkan… satu senario di mana penyedia tertentu mungkin mematikan model mereka,” tambahnya.
Menggabungkan aspek terbaik daripada pelbagai sistem bermakna program berkuasa AI Sakana, secara teori, “boleh terus beroperasi,” walaupun “dengan prestasi sedikit rendah pada peringkat awal,” katanya.
Pendekatan Sakana menarik sokongan gergasi cip Amerika Syarikat (AS), Nvidia, serta bank-bank Jepun dan perniagaan lain yang mahu mendahului dalam dunia AI generatif yang bergerak pantas.
Perkataan sakana bermaksud ikan dalam bahasa Jepun, dan syarikat pemula itu berkata mereka mendapat inspirasi daripada alam semula jadi, di mana spesies daripada semut hingga manusia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah.
KUASA LEMBUT
Ha, kelahiran Hong Kong yang membesar di Kanada dan kini menetap lama di Jepun, ialah bekas saintis penyelidikan Google Brain yang sebelum itu pernah berdagang derivatif di Goldman Sachs.
Beliau menubuhkan Sakana AI bersama bekas penyelidik Google, Llion Jones salah seorang penulis bersama kertas penyelidikan pembelajaran mesin yang berpengaruh pada 2017 – serta Ren Ito, yang pernah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri Jepun.
Pasukan Sakana kini melebihi 100 orang termasuk kontraktor, dengan pejabat sederhana mereka terletak di ruang kongsi pemula di Tokyo.
Jepun sedang melabur berpuluh bilion dolar dalam AI dan semikonduktor, berharap dapat mengembalikan sebahagian kegemilangan teknologi era 1980an serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja yang semakin menyusut.
Namun masih ada jalan panjang. Dalam Ranking Daya Saing Dunia 2025 oleh IMD, Jepun berada di tangga ke-35, dengan penyelidik berkata negara itu perlu memupuk keusahawanan dan menangani kekurangan tenaga kerja akibat penuaan penduduk.
“Terdapat banyak cabaran perniagaan di Jepun,” kata Ha, di mana persekitaran kerja “sangat berbeza” dengan Eropah, China atau AS.
Tetapi, ‘membangun dari bawah’ ialah kelebihan buat Sakana AI, yang menggunakan kuasa lembut Jepun untuk menarik jurutera perisian berbakat.
Dengan menubuhkan syarikat itu, Ha berkata beliau telah menanam akar di Jepun, yang ‘memang ada masalah’ tetapi tetap merupakan sebuah demokrasi terkemuka di Asia.
EKSPERIMEN
Antara alat yang dibangunkan Sakana AI termasuk chatbot berbahasa Jepun, Tiny Swallow, yang boleh digunakan secara luar talian bagi melindungi privasi pengguna.
Satu lagi sistem yang dilatih menggunakan kesusasteraan Jepun klasik pula menjawab pertanyaan teks dengan gaya bahasa seperti samurai.
Sesetengah pengatur cara menegur masalah dalam hasil projek Sakana seperti AI Scientist satu usaha mengautomasikan penemuan saintifik yang makalahnya berjaya melepasi proses semakan rakan sebaya tahun ini serta projek lain untuk meningkatkan kecekapan kejuruteraan AI.
“Kami perlu bereksperimen,” kata Ha. Dalam akademik dan perniagaan juga, “kadangkala sesuatu tidak berjalan seperti yang diharapkan, dan kami belajar daripadanya.”
Apa pun, “orang mengambil konsep ini dengan sangat serius” dan kerja boleh bergerak pantas seperti evolusi video ciptaan AI daripada imej kabur menjadi hiperrealistik, katanya.
Pada Mei, Sakana mengumumkan perkongsian berbilang tahun dengan megabank Jepun, MUFG, untuk membangunkan “sistem AI khusus bank”.
Walaupun Ha mahu mengekalkan pasukan penyelidikan AI Sakana kecil dan ‘niche’, cabang syarikat yang membantu perniagaan Jepun serta sektor awam menggunakan AI kini semakin berkembang.
“Ia satu cabaran untuk mengimbangi antara pembangunan AI termaju dan aspek perniagaan dalam menyampaikan penyelesaian dipercayai yang terbukti berkesan,” katanya.
Ha meramalkan keterujaan pelabur terhadap AI akhirnya akan surut.
“Setiap revolusi teknologi utama, daripada terusan hingga ledakan dot-com, digerakkan oleh gelembung spekulatif,” katanya.
“Pelaburan spekulatif itu, walaupun berisiko, ia adalah sumber yang membiayai pencapaian asas.” – AFP

