Selepas bercerai dengan bekas suami kedua pada penghujung 2023, pelakon Sharifah Sakinah kembali bertemu jodoh dengan jejaka pilihannya minggu lalu, menurut laporan mStar.
Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suaminya kepada umum atas alasan peribadi.
Mengesahkan berita itu kepada Harian Metro, Sakinah juga memberitahu sudah mengenali suaminya itu sejak empat tahun lalu.
“Ya, kami sudah berkahwin minggu lalu. Tapi, saya mohon maaf kerana tidak dapat dedahkan identiti suami kerana alasan peribadi.
“Saya juga mencari masa yang sesuai untuk berkongsi berita baik ini kepada semua termasuk pihak media,” katanya.
Pada majlis akad nikah itu, Sakinah dilihat tampil anggun mengenakan busana serba putih dengan tema putih keemasan.
Untuk rekod, Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang iaitu Aliff Adha pada 2015 namun pasangan itu bercerai pada 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Anais Adha yang kini berusia lapan tahun.
Sakinah kemudiannya bertemu jodoh dengan seorang warga Sweden iaitu Michael Hansen pada 2021 dan telah bercerai dua tahun kemudian tanpa cahaya mata. – Agensi
