MEMPERTARUHKAN elemen popular seperti kisah cinta tiga persegi, misteri pembunuhan dan kehidupan penuh drama di kalangan pelajar sekolah menengah adalah antara yang diterapkan dalam sebuah siri drama terbaru, 13 Reasons Why yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Jay Asher.
Tom McCarthy telah dipertanggungjawabkan selaku pengarah dan dibantu oleh Brian Yorkey selaku penulis skrip drama ini.
Siri drama ini membariskan barisan pelakon seperti Dylan Minnette, Katherine Langford, Brandon Flynn, Christian Navarro. Alisha Boe. Michelle Selene, Justin Prentice, Devin Druid dan ramai lagi.
Pada awalnya ia menumpukan kisah pertemuan di antara dua pelajar sekolah menengah iaitu Clay Jensen lakonan Dylan Minnette dan Hannah Baker lakonan Katherine Langford. Dari pertemuan tersebut hubungan mereka semakin rapat sehingga berputiknya bunga-bunga cinta di antara mereka.
Selain dua orang sahabat itu, mereka juga telah bertemu dengan beberapa orang pelajar lain iaitu Justin Foley lakonan Brandon Flynn, Tony lakonan Christian Navarro, Jessica Davis lakonan Alisha Boe, Courtney Crimsen lakonan Michelle Selene Ang, Bryce Walker lakonan Justin Prentice, Tyler Down lakonan Devin Druid, Alex Standall lakonan Miles Heizer, Zach Dempsey lakonan Ross Butler dan Skye Miller lakonan Sosie Bacon.

Kisah dalam drama ini lebih menumpukan kepada watak Hannah Baker yang pada awalnya adalah seorang gadis ceria dan pemalu serta suka berkawan dengan pelajar-pelajar lain terutama Clay Jensen.
Namun tanpa diduga disebalik keceriaan wajah Hannah itu juga menyimpan kedukaan di dalam hidupnya sehingga beliau nekad untuk membunuh diri di mana berita kematiannya itu jelas menjadi satu kejutan kepada teman-temannya.
Ternyata kematian tersebut adalah pembukaan kepada satu misteri yang menimpa 13 rakan terdekat Hannah apabila mereka menerima sebuah bungkusan yang mengandungi kaset rakaman suara Hannah yang meluahkan perasaan terhadap mereka.
Lalu apakah yang cuba untuk disampaikan melalui pengakuan-pengakuan di dalam rakaman-rakaman kaset tersebut dan adakah mereka berjaya merungkai penyebab Hannah yang nekad untuk membunuh diri.
Setentunya ada di antara pengakuan-pengakuan Hannah tersebut adalah berunsur dendam, cemburu dan sebagainya yang mungkin sakit dipendam olehnya namun akan lebih pahit lagi tatkala mendengar luahannya.
Bagi mengetahui kesudahan misteri yang sentiasa membelenggu para pelajar tersebut, jangan terlepas untuk terus menonton siri drama 13 Reasons Why sehingga ke penghujungnya.