Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sakit jantung tak halang capai kejayaan

    KUALA NERUS – Dalam pada orang ramai bersuka ria, terdapat juga graduan yang berduka semasa Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-15, di sini, baru-baru ini.

    Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nur Aufa Johan, 24, tidak menjadikan penyakit jantung sebagai halangan untuk beliau meraih kecemerlangan.

    Sebaliknya, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu menganggap dugaan tersebut sebagai motivasi untuk menggapai cita-cita.

    Anak kelima dari enam beradik itu berkata beliau diserang penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 15 tahun.

    Sejak itu beliau terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang didudukinya tidak berapa memuaskan.

    Nur Aufa bersama ibu bapa, Nooraini Ismail, 60 (kiri) dan Johan Mansor, 66 (kanan) pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-15 di sini baru-baru ini. – Bernama
    Hanan Kamel menunjukkan sijil yang diterima pada Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-15 baru-baru ini. – Bernama

    “Waktu itu memang sedih kerana hasrat saya ingin menghadiahkan keputusan cemerlang buat ibu bapa seperti abang dan kakak yang lain tidak kesampaian.

    “Walaupun ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan kerana memahami kesulitan yang saya hadapi, saya tetap berazam untuk berusaha lebih gigih dan menghadiahkan kejayaan untuk mereka suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

    Nur Aufa akhirnya berjaya melunaskan azam itu kali ini apabila dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan selepas mencatat nilai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 3.91, sekali gus menerima hadiah berupa trofi dan wang tunai RM7,500.

    Hadiah disampaikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.

    Gadis itu yang kini bekerja sebagai pegawai strategik di bahagian Komunikasi Korporat PETRONAS di Kuala Lumpur merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana.

    Walaupun menyedari tekanan dan kesulitan yang bakal dihadapi, beliau tetap menggenggam harapan untuk bergelar doktor falsafah.

    “Insya Allah dengan iltizam yang kuat dan sokongan ibu bapa, saya pasti dapat mencapai semua yang dicita-citakan suatu hari nanti,” katanya.

    Dalam pada itu, hanya mesej yang mengandungi kata-kata semangat di telefon bimbit menemani graduan Ijazah Kedoktoran dari Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, naik ke pentas menerima skrol pada majlis berkenaan.

    Ibu bapa serta ahli keluarga Hanan Kamel tidak dapat hadir menyaksikan majlis konvokesyennya disebabkan konflik yang melanda negaranya ketika ini.

    Walaupun sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaannya bersama mereka yang tercinta, namun Graduan Fakulti Sains Kesihatan itu tetap bersyukur kerana keluarganya tetap ‘hadir’ mengucapkan tahniah dan mendoakan keselamatannya di Malaysia melalui pesanan yang dihantar menerusi telefon.

    “Kali terakhir saya berhubung dengan keluarga adalah pada semalam melalui Facebook dan Instagram. Kami tidak dapat berhubung dengan kerap kerana talian Internet di sana sangat lemah. Mereka juga terpaksa mengehadkan perbualan kerana terpaksa
    sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga.

    “Buat masa ini, saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat untuk kembali berbakti di Palestin dan akan mencari pekerjaan di Malaysia. Harapan saya semoga dapat bertemu semula dengan keluarga suatu hari nanti,” katanya yang memiliki 12 orang adik-beradik ketika ditemui di UNiSZA, di sini.

    Bagaimanapun, Hanan Kamel bersyukur kerana semua anggota keluarganya masih selamat walaupun terpaksa menumpang di rumah jiran dan saudara-mara yang lain setelah kediaman mereka terkesan dengan perang Israel-Palestin itu.

    Sementara itu, seorang lagi graduan doktor falsafah dari bumi Palestin, Saber T R Syouri, 50, malangnya terpaksa melupakan hasrat menghadiri majlis konvokesyen yang bersejarah itu setelah terperangkap dalam situasi yang berbahaya di Tebing Barat ketika ini.

    Menerusi sebuah tayangan video yang disiarkan pada majlis tersebut, beliau turut berkongsi berita duka kehilangan beberapa anggota keluarganya termasuk anak lelaki dan anak perempuannya dalam konflik terbaharu yang bermula pada 7 Oktober lepas itu.

    “Terima kasih kepada Terengganu dan UniSZA. Saya minta maaf kerana tak dapat menghadiri konvokesyen kerana situasi yang amat berbahaya pada masa sekarang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda