Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sakit kepala migrain cenderung ‘menyerang’ wanita

    MIGRAIN adalah sakit kepala yang disertai dengan rasa sakit kepala berdenyut-denyut. Ia biasanya menjadi lebih teruk pada satu bahagian kepala sehingga mampu mengganggu aktiviti seharian. Rasa sakit kepala ini boleh berlanjutan dari empat jam hingga ke tiga hari jika tidak dirawat.

    Simptom migrain

    Sakit kepala yang berdenyut-denyut biasanya muncul pada satu bahagian kepala berhampiran dengan pelipis, dahi dan mata.

    Kesakitan ini juga menyebabkan anda rasa sensitif pada cahaya, bunyi atau pergerakan ringan seperti menaiki tangga.

    Kebanyakan penghidapnya boleh mengalami loya-loya, muntah-muntah atau masalah penglihatan.

    Wanita mengalami sakit kepala migrain tiga kali lebih banyak daripada lelaki.

    Kesakitan yang dialami ini boleh memaksa penghidapnya rasa tidak berupaya untuk bergerak sekali gus memaksa mereka untuk tidak dapat bekerja atau melakukan aktiviti-aktiviti biasa.

    Migrain disertai aura

    Kira-kira 20 peratus penderita sakit kepala migrain akan mengalami aura dalam masa 20 minit hingga sejam sebelum kesakitan bermula.

    Penghidap ini boleh melihat kerlipan cahaya, garisan bergelombang, atau bintik-bintik halus, atau mereka mengalami penglihatan kabur. Keadaan ini dikenali sebagai sakit kepala klasik migrain.

    Tanda amaran migrain

    Sesetengah orang akan mengalami perubahan dalam mood sebelum bermulanya migrain. Mereka menjadi lebih mudah teruja atau cepat marah atau murung.

    Ada juga yang akan mengesan perasaan aneh seperti bau, atau rasa yang kurang menyenangkan. Mereka juga merasa lebih lesu, kerap menguap atau mengalami ketegangan otot.

    Penyebab

    Penyebab sebenar sakit kepala migrain masih tidak difahami, tetapi masalah ini dipertimbangkan sebagai masalah neurologi. Dipercayai juga bahawa kimia otak, pembuluh darah dan saraf otak terlibat sama.

    Pencetus migrain

    Kerlipan cahaya

    Sakit kepala migrain boleh dicetuskan melalui penyebab tertentu seperti kerlipan cahaya. Ia boleh dilihat daripada lampu berpendarfluor atau televisyen.

    Memakai cermin mata berpola (polarizing) ketika berada di luar dan menggunakan mentol berpendarfluor spectrum cahaya siang hari juga boleh membantu mengurangkan pencetus ini.

    Gelisah dan tekanan

    Tekanan emosi adalah pencetus biasa sakit kepala migrain. Walaupun agak mustahil untuk mengelak tekanan sepenuhnya, namun senaman yang memberi kerehatan boleh membantu anda menghadapinya.

    Tarik dan hembus nafas perlahan-lahan, biarkan udara masuk dan kemudian mengempis seperti belon.

    Kurang makan dan tidur

    Adalah penting bagi mereka yang mudah mengalami sakit kepala migrain untuk memiliki corak makan dan tidur yang tetap.

    Gula darah yang rendah akibat tidak makan boleh mencetus migrain. Makan terlalu banyak gula juga boleh menyebabkan kenaikan dan penurunan gula darah.

    Minum air sepanjang hari bagi mengelak dehidrasi dan tidur sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam pada waktu malam.

    Perubahan hormon

    Kebanyakan wanita, sakit kepala migrain terikat dengan kitaran haid dan muncul sama ada beberapa hari sebelum atau semasa haid kerana masa ini tahap estrogen telah jatuh.

    Sesetengah wanita boleh mendapat kelegaan setelah mengambil ubatan antikeradangan sebelum sakit kepala bermula.

    Ada juga yang mengambil alat pencegah kehamilan seperti pil, tampalan atau gegelang. Walau bagaimanapun ada yang mengalami sakit kepala migrain lebih teruk apabila mengambil alat pencegah kehamilan berhormon.

    Penyebab makanan

    Penderita migrain kerap melaporkan makanan tertentu mencetus sakit kepala. Namun kajian saintifik tidak dapat mengesahkan makanan tertentu sebagai pencetus migrain.

    Mengesan pencetus peribadi

    Anda boleh mengetahui pencetus sakit kepala migrain dengan mencatatnya di dalam diari. Setiap kali anda mengalami sakit kepala migrain, tulis nota berkaitan pencetus tanda-tanda amaran dan keterukannya. Jika anda boleh mencari pencetus peribadi, anda mungkin boleh mengelak sakit kepala pada masa hadapan.

    Wanita mengalami sakit kepala migrain tiga kali lebih banyak daripada lelaki. Jika anda mempunyai saudara rapat yang menghidap migrain, berkemungkinan besar anda juga boleh mengalaminya. Pakar mempercayai migrain berkait dengan mutasi dalam gen yang memberi kesan pada kawasan tertentu otak.

    Sakit kepala migrain juga adalah biasa di kalangan mereka yang mengalami sawan, kemurungan, asma, kegelisahan, strok dan sesetengah masalah neurologi serta penyakit yang diwarisi.

    Sakit kepala migrain kanak-kanak

    Kira-kira lima peratus kanak-kanak yang mengalami masalah sakit kepala turut menderita sakit kepala migrain. Kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh mendapat sakit kepala migrain tetapi selepas akil baligh ia biasa di kalangan perempuan.

    Kanak-kanak boleh memiliki simptom selain sakit kepala. Ini termasuklah sakit pada bahagian perut, atau kerap muntah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda