Oleh Daniel Lim
BELAIT, 25 JULAI – Kelihatan deretan teleskop menghiasi premis Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait malam kelmarin untuk memberi peluang lebih 50 anggota kakitangan Jabatan Ukur menyaksikan planet-planet dan bulan pada acara Planet Visible, Above & Beyond anjuran Unit Astronomi.
Selain tujuannya untuk berkongsi minat astronomi, Pemangku Juruukur Daerah Belait, Awang Noor Azlin bin Haji Mohammad menjelaskan acara itu juga memberi peluang bagi para peminat berkumpul dan menyaksikan keindahan planet serta memberi inspirasi terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di daerah itu.
Acara yang dibukakan kepada orang awam itu turut menarik pengunjung ke kawasan itu untuk menyaksikan planet-planet lain seperti Zuhal, Musytari, Zuhrah dan Marikh serta bulan menggambang penuh dan menerangi langit malam dengan menggunakan teleskop canggih.
Dengan adanya acara seumpamanya itu, jabatan itu berharap ia dapat memberi pemahaman lebih baik dalam menghargai apa yang tersembunyi di ruang cakerawala kita dan dapat mencetuskan inspirasi pada generasi peminat astronomi akan datang.
