Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sakura Band lancar lagu baharu

    Pernah menggegarkan pentas muzik dengan lagu ‘catchy’ seperti Polaroid, Sakura Band kembali dengan single terbaharu berjudul Menang. Lagu ini dicipta dua tahun lalu dan sepatutnya dipasarkan pada tahun lalu.

    Namun, bagi memberi laluan kepada vokalis, Mell melahirkan anak, Menang dilancarkan di semua platform digital, baru-baru ini. Mengulas mengenai lagu itu, pemain gitar kedua Sakura Band, Haniff memberitahu, dia dan anggota kumpulan sepakat melancarkan Menang selepas berehat tahun lalu.

    “Sepanjang tahun lalu, kami memberi fokus kepada kerja belakang tabir dan mencipta lagu.

    “Awal tahun ini, kami berbincang dan menetapkan tarikh Menang dilancarkan,” katanya kepada media.

    Selain Haniff dan Mell, Sakura Band dianggotai Ali yang bermain gitar pertama dan Akai (bes).

    Sakura Band lancarkan single terbaharu berjudul Menang yang sepatutnya dilancarkan pada tahun lalu. – Agensi

    Ditubuhkan pada tahun 2012, Sakura Band mencipta pengaruh tersendiri apabila single Setelah Hujan yang menjadi lagu tema drama Diandra yang siarkan di TV3, mencetuskan fenomena.

    Kali terakhir Sakura Band muncul dengan single adalah pada tahun 2018 menerusi lagu Magik. Haniff berkata, biarpun diperam dua tahun, muzik yang melatari Menang masih relevan dengan pasaran sekarang.

    “Lagu ini adalah kesinambungan kepada Magik. Single ini berentak elektronik moden.

    “Apatah lagi, lirik lagu ini menceritakan bagaimana kita perlu berjuang dalam kehidupan dan jangkaan kita mencapai kemenangan.

    “Pendek kata, lagu ini memberi motivasi buat kita semua,” katanya.

    Haniff berkata, mereka berharap Menang dapat diterima peminat setia termasuk penyokong baharu.

    “Semoga lagu ini diterima baik sama seperti single terdahulu. Walaupun muzik ditukar sikit, namun, daripada segi lirik dan komposisi muzik, apa yang dipaparkan masih Sakura Band,” katanya.

    Menang dicipta oleh Natasya, Mell dan Haniff dan liriknya pula dihasilkan Mell dan Haniff. Single ini dilancarkan di semua pelantar muzik digital dan boleh distrim di Spotify, Joox, KKBOX, YouTube dan Apple Music. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda