Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sakura mekar di pelosok dunia

    JEPUN – Sakura hanami, merupakan sebuah frasa Jepun yang diterjemahkan sebagai melihat bunga sakura iaitu tindakan untuk menikmati dan menghargai pemandangan pokok bunga sakura yang mekar.

    Ia merupakan satu aktiviti yang memerlukan perkelahan atau kegiatan luar di mana pokok-pokok tumbuh dengan banyak, seperti taman dan tepi sungai. Aktiviti tersebut bukan hanya berlaku pada pagi hari malahan juga pada malam hari di mana ia dipanggil yozakura.

    Sifat sementara bunga itu bermakna ia hanya akan mekar pada musim singkat bagi yang ingin melihatnya secara langsung. Biasanya, ia akan mekar dari akhir Mac hingga awal April, tetapi disebabkan oleh perubahan iklim, puncak kemekarannya telah berganjak seminggu lebih awal.

    Walaupun awda tidak berpeluang untuk melihat bunga tersebut di Jepun namun terdapat destinasi alternatif yang boleh dipertimbangkan.

    GYEONGGI-DO, KOREA SELATAN

    Lazimnya, pelancong akan berpusu-pusu ke Seoul atau Jeju apabila teringin untuk melihat bunga sakura di Korea Selatan. Bagi menjadikan perjalanan lebih diingati di sini, awda boleh memilih untuk melihat secara khusus King Cherry Blossom, yang merupakan variasi unik Korea dan biasanya mekar pada pertengahan April.

    Kuil Wuji Tianyuan adalah antara tempat bunga sakura yang paling popular di Bandar Baharu Taipei. – ANN/The Star
    Taman Tasik Gwanggyo di Suwon, Gyeonggi-do ialah tempat sesuai untuk menggambar bunga sakura yang cantik. – ANN/The Star
    Ha Giang bertukar merah jambu pada bulan Mac setiap tahun. – ANN/The Star
    Kungstradgarden ialah tempat paling popular di Stockholm untuk melihat bunga sakura. – ANN/The Star
    Lembah Jerte di Caceres mempunyai bunga sakura putih. – ANN/The Star

    Habitat semula jadi varieti tersebut ialah Jeju dan Daedunsan, sebuah gunung di Jeolla Selatan, tetapi ia juga boleh ditemui di bahagian tertentu Gyeonggi-do, seperti Taman Speedboat Misari dan Yangpyeong Dumulmeori.

    Suwon, ibu kota Gyeonggi-do, mempunyai bunga sakura Yoshino biasa tetapi tetap cantik dari segi estetika, kerana ia mengukir landskap merah jambu tersendiri yang difikirkan orang apabila mendengar ‘sakura.’

    BANDAR BAHARU TAIPEI, TAIWAN

    Pulau kecil ini mungkin tidak begitu terkenal seperti negara jiran Jepun dan Korea tentang perkara berkaitan sakura, tetapi ia sebenarnya salah satu tempat terbaik di Asia Timur untuk melihat bunga sakura yang indah (dikenali sebagai ying hua dalam bahasa Mandarin).

    Ini disebabkan oleh fakta bahawa bunga berharga itu mula mekar seawal Januari (di tempat seperti Baoshan dan Aowanda) sehingga awal April (seperti di Shizhuo dan Alishan).

    Kuil Wuji Tianyuan, di Daerah Tamsui di Bandar Baharu Taipei, adalah salah satu tempat untuk melihat bunga sakura yang paling banyak dikunjungi di utara Taiwan.

    Mekar di bahagian belakang kuil adalah bunga sakura tiga warna yang unik, spesies hibrid dari Jepun yang menghasilkan kelopak berwarna merah jambu, putih dan pic. Jika awda terlepas, awda masih boleh melihat bunga sakura Yoshino yang mekar di sana kira-kira sebulan kemudian.

    HA GIANG, VIETNAM

    Awda mungkin sedar bahawa bunga sakura juga boleh ditemui di bahagian utara yang lebih sejuk di Asia Tenggara. Perbezaannya adalah di tempat tertentu ia akan mekar pada musim sejuk (Disember hingga Januari) dan bukannya musim bunga (Februari hingga Mac).

    Kebanyakan pelancong akan tertarik ke Thailand (biasanya Chiang Mai) untuk melihat bunga sakura mekar, tetapi Vietnam juga menawarkan banyak tempat bagi tujuan itu.

    Misalnya, Dalat terkenal dengan pesta bunga dwitahunan yang telah diadakan sejak 2005, manakala Sapa mempunyai lereng bukit yang dilitupi sakura yang terkenal.

    Terdapat juga perkampungan bunga sakura di Nhat Tan di Hanoi, yang terkenal dengan bunga pic, dan Mang Den di Kon Tum, di mana penduduknya digalakkan untuk menanam lebih banyak pokok bunga sakura dalam usaha untuk menjadikan bandar itu sebagai syurga bunga sakura.

    STOCKHOLM, SWEDEN

    Kungstradgarden (Taman Raja) di Stockholm sering disenaraikan sebagai antara destinasi Eropah yang terbaik untuk bunga sakura.

    Setiap April, taman ini akan mengadakan Festival Bunga Sakura, di mana ia bukan sahaja bertujuan untuk melihat bunga yang indah tetapi berfungsi sebagai hari bagi meraikan budaya Jepun yang meliputi bengkel, persembahan dan aktiviti.

    Walau bagaimanapun, Kungstradgarden bukanlah satu-satunya tempat untuk melihat bunga sakura, kerana kebanyakan pokok bunga sakura juga boleh ditemui di seluruh Sweden.

    Terdapat juga pilihan lain termasuk Taman Luma di kawasan tenggara ibu negara Sweden, Botaniska Tradgarden di Gothenburg, dan Karsbarsdalen di Lund yang mempunyai bunga berwarna putih bukan merah jambu setiap Mei.

    CACERES, SEPANYOL

    Jika awda tidak meminati merah jambu awda boleh memilih bunga sakura putih. Dari pertengahan Mac hingga awal April, cerun Lembah Jerte di wilayah Caceres di Sepanyol berubah menjadi kawasan ajaib seputih salji.

    Perubahan bermula dari kawasan bawah lembah dan secara beransur-ansur merebak ke kawasan yang lebih tinggi apabila lebih banyak bunga putih mula mekar.

    Landskap halus tersebut adalah ihsan daripada dua juta Pokok Ceri Picota yang berasal dari lembah. Jadi awda boleh memilih sama ada ingin menikmati pemandangan bunga putih ataupun berseronok memetik ceri manis bergantung pada masa lawatan awda. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda