Salad tanah tinggi jana pendapatan ahli PPK

KOTA BHARU – Seramai 30 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa kini boleh tersenyum lebar apabila penglibatan mereka dalam aktiviti menanam salad dan sawi secara hidroponik melalui kaedah Nutrien Film Technique (NFT) dan Deep Flow Technique (DFT) memberi hasil yang baik.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan, Mohd Hanifa Awang Su berkata projek yang dilaksanakan sejak awal 2019 itu kini membuahkan hasil apabila sejumlah 37.1 metrik tan salad dan sawi mampu dituai setiap tiba tempoh matang.

“Ketika ini projek berkenaan mempunyai 22,500 pot salad dan sawi hidroponik. Dua jenis salad iaitu Siamese Lattuce serta Coral Lattuce mendapat permintaan tinggi, dan sudah memasuki pasar raya serta kedai runcit sekitar Kota Bharu dan pusat hasil PPK,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

“LPP Kelantan membantu ahli PPK Pengkalan Chepa sejak awal 2019 menerusi peruntukan berjumlah RM70,000, dan tahun lepas sejumlah RM85,00 lagi peruntukan ditambah,” tambahnya

Mengulas mengenai sistem yang digunakan Mohd Hanifa berkata menerusi sistem hidroponik, sayuran tidak mengambil masa yang panjang untuk dituai, dengan sawi hanya mengambil masa 25 hari manakala salad cuma memerlukan 40 hari.

“Tempoh 25 hari untuk sawi dan 40 untuk salad itu bermula dari semaian biji benih menggunakan medium ‘rock wool’ dan dipindahkan selepas tempoh seminggu ke rumah perlindungan hujan yang diperbuat untuk kalis serangga menggunakan peneduh Ultra Violet (UV) plastik,” katanya.

Mohd Hanifa berkata kejayaan PPK Pengkalan Chepa kini menjadi contoh kepada beberapa persatuan bukan sahaja di Kelantan, malah di negeri lain.

“Projek ini telah dijadikan pendua (duplicate) ke PPK Kuala Krai, malah model sama juga turut dipindahkan ke PPK di negeri lain seperti Pulau Pinang.

“Nampaknya sayuran di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands kini boleh ditanam di kawasan biasa, cuma dengan kaedah dan juga ‘resepi’ pembajaan yang tersendiri mengikut tanaman,” katanya.

Mohd Hanifa LPP serta PPK Pengkalan Chepa juga bersedia untuk berkongsi kemahiran penanaman sayuaran tanah tinggi itu dengan sesiapa sahaja yang berminat. – Bernama

Mohd Hanifa Awang Su (kiri) bersama Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa, Zainisham Idris (tengah) melihat sebahagian tanaman salad yang ditanam di PPK Pengkalan Chepa. –Bernama