KAHERAH, 31 MAC – Mohamed Salah telah mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya dengan pasukan kebangsaan Mesir berikutan kegagalan mereka melayakkan diri ke Piala Dunia.
Dalam komen kepada pasukannya dalam video yang disiarkan oleh kementerian belia dan sukan Mesir, penyerang Liverpool itu berkata dia berasa amat bangga terhadap pasukannya, ‘sama ada saya berada di sini atau tidak.’
Pasukan Mesir tewas kepada Senegal dalam sepakan penalti pada Selasa.
Video menunjukkan Salah berkata kepada rakan sepasukannya dalam bilik lokar selepas kekalahan, “Saya memberitahu pemain semalam (sebelum perlawanan) bahawa saya berasa bangga kerana dapat bermain bersama mereka, dan mereka adalah antara terbaik yang pernah beraksi dengan saya.
“Tidak banyak yang diperkatakan, tetapi menjadi satu penghormatan untuk beraksi bersama awda, sama ada saya berada di sini atau tidak.”

Komen Salah ditafsir sebagai isyarat dia mungkin bersedia untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.
Pemain berusia 29 tahun itu memulakan kariernya dengan pasukan kebangsaan Mesir pada 2011.
Salah satu pencapaian terbesarnya adalah menjaring gol saat-saat terakhir dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Congo, sekali gus membawa Mesir melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia.
Pada Selasa, Salah terlepas jaringan gol setelah bola melepasi palang gol dalam sepakan penalti dengan Senegal.
Ia adalah kali kedua dalam dua bulan pasukan Mesir tewas kepada Senegal selepas Lions of Teranga mengalahkan mereka dalam perlawanan final Piala Negara Afrika pada Februari, dalam perlawanan yang juga berakhir dalam sepakan penalti. – AFP