MANCHESTER, 23 FEB – Liverpool mengorak langkah besar ke arah kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada Ahad setelah menang 2-0 ke atas Manchester City sekali gus berada selesa di tangga teratas liga dengan kelebihan 11 mata ke atas Arsenal.
Mohamed Salah sekali lagi menjadi pemain bintang Liverpool apabila dia membuka jaringan dengan gol ke-30nya musim ini sebelum meletakkan Dominik Szoboszlai untuk menambah jaringan sebelum separuh masa.
“Ia istimewa. Terutama apabila awda berada dalam perebutan kejuaraan, ia luar biasa,” kata Salah selepas kemenangan liga pertama Liverpool di Etihad selama sedekad.
“Saya dan pemain-pemain hebat dalam pasukan, kami perlukan satu lagi gelaran.”
Sebelum ini, semasa kegemilangan Pep Guardiola, Liverpool hampir tidak dapat bersaing dalam saingan hebat bola sepak Inggeris beberapa tahun kebelakangan ini.
Perjalanan ke Etihad telah sekian lama menjadi ujian paling berat bagi Liverpool, tetapi kali ini kelemahan pertahanan City mudah terdedah dan serangan City yang tumpul akibat kecederaan Erling Haaland.
Liverpool, sebaliknya, beraksi cemerlang dengan Salah yang mencatatkan jumlah yang mengejutkan apabila mencatat 25 jaringan gol dan 16 bantuan dalam 27 penampilan Liga Perdana.
Pemain Mesir itu membuka jaringan pada minit ke-14 hasil rutin set-piece yang dilakukan dengan cemerlang.
Sepakan sudut yang rendah daripada Alexis Mac Allister telah disambut dan dihantar ke tengah oleh Szoboszlai ke laluan Salah dan rembatannya melantun mengenai Nathan Ake seterusnya melepasi Ederson.
Sementara City hampir merapatkan kedudukan tetapi jaringan Omar Marmoush dibatalkan akibat ofsaid sebelum menerima hantaran Phil Foden.
Pemain sayap City Jeremy Doku berjaya melepasi Trent Alexander-Arnold, namun gagal melakukan hantaran lintang atau membuat percubaan.
Salah menambah luka City apabila membuat larian meluru ke petak penalti dan menghantar ke Szoboszlai untuk menambah jaringan menewaskan Ederson. – AFP
