Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah dinobat pemain terbaik buat kali ketiga

    LONDON, 9 MEI – Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, dipilih sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) bagi musim ini selepas mempamerkan prestasi cemerlang yang membantu pasukannya menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20, hari ini.

    Pemain antarabangsa Mesir itu menjaringkan 28 gol dan mencatat 18 assist, sekali gus mencipta rekod sebagai pemain dengan penglibatan gol terbanyak dalam kempen Liga Perdana 38 perlawanan ketika pasukan Arne Slot menjulang kejuaraan pertama sejak 2020.

    Salah, 32, memenangi hampir 90 peratus undian daripada penulis sukan, menjadikannya margin kemenangan terbesar abad ini dalam sejarah anugerah tersebut.

    Rakan sepasukan, Virgil van Dijk, berada di tempat kedua, diikuti penyerang Newcastle United, Alexander Isak dan pemain tengah Arsenal, Declan Rice, di tempat ketiga dan keempat. Anugerah itu menjadikan Salah menyamai rekod Thierry Henry sebagai satu-satunya pemain yang pernah memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali, iaitu pada musim 2017 hingga 2018, 2021 hingga 2022 dan kini 2024 hingga 2025.

    Sebelum ini, Salah turut menamatkan spekulasi masa depannya apabila menandatangani kontrak baharu selama dua tahun untuk terus bersama Liverpool sehingga 2027.

    Keputusan itu dijangka menjadikan Liverpool sebagai antara calon utama untuk memenangi kejuaraan ke-21 musim hadapan, sekali gus mengatasi rekod Manchester United sebagai kelab paling berjaya di England.

    Dalam kategori wanita, Alessia Russo menjadi pemain Arsenal kedua yang memenangi anugerah sama selepas mengetepikan juara tahun lalu, Khadija Shaw. – AFP

    Aksi Mohamed Salah semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan West Ham United di Anfield di Liverpool pada 13 April lalu.
    – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda