Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah guna AI mampu jadi ‘virus’ dalaman

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Era hari ini adalah era yang tidak menentu, yang berlaku di dalamnya pelbagai kemelut atau krisis. Maka oleh itu, kita adalah diperlukan untuk sentiasa waspada bagi menepis apa jua perkara yang tidak diingini daripada menjangkiti kita.

    Misalnya, perkembangan dan kepesatan teknologi menggunakan kecerdasan buatan (AI) adalah seumpama ‘penghijrahan’ yang kini kita alami dalam kehidupan seharian. Meskipun perkara ini diambil positif, namun harus diingat jika AI disalahgunakan oleh mana-mana pihak, ianya boleh menjadi ibarat ‘virus’ yang merebak secara dalaman yang boleh meracuni pemikiran dan mengelirukan minda kita serta boleh memesongkan akidah seseorang.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah sempena Tahun Baharu Hijrah 1447, malam ini.

    Baginda Sultan terdahulu dalam titahnya turut merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan kita menyambut Tahun Baharu Ilal Hijrah 1447 dalam keadaan riang dan selesa.

    “Semoga Tahun Baharu Hijrah yang kita sambut ini akan membawa keberkatan kepada kita semua dan negara, dengan keamanan dan kemakmuran menjadi milik kita, dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena menyambut Tahun Baharu Ilal Hijrah 1447, semalam. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Baginda Sultan turut bertitah, pada hakikatnya Baginda amat yakin dan optimis, bahawa kita Insya Allah mampu untuk menjadi sebuah negara yang mantap dengan pembangunan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Perkara ini telah pun terbukti berjalan baik, dan Insya Allah ia akan berterusan pelaksanaannya. “Mengapakah perkara yang baik ini sentiasa memihak kepada kita? Jawabnya, kerana kita sentiasa konsisten menjadikan Islam sebagai teras panduan hidup, bahkan panduan dalam pentadbiran. Kita sentiasa patuh mengikut apa-apa yang disuruh oleh agama, dan tidak membuat apa-apa yang dilarang oleh agama,” titah Baginda Sultan.

    Titah Baginda Sultan, ini menjadi dalil, bahawa iman dan takwa sedang subur di bumi bertuah ini, Brunei Darussalam. Maka kerana itulah janji Allah sedang dan telah berlaku ke atas kita, sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-A’raf, ayat 96, tafsirnya ‘Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan pintu kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…..’

    “Sayugia diingat, bahawa berkat itu bukanlah satu tetapi pelbagai. Negara aman adalah berkat. Negara makmur adalah berkat. Ketaatan kepada ulil amri adalah berkat. Rakyat hidup bersatu padu adalah berkat dan lain-lain seumpamanya,” tegas Baginda Sultan.

    Oleh itu, titah Baginda Sultan, keperluan untuk mengekalkan berkat adalah perkara yang utama. Tetapi bagaimanakah cara untuk mengekalkan berkat itu? Caranya, kita anak watan hendaklah terus menyiram bumi kesayangan kita, Brunei Darussalam dengan iman dan amal takwa. Jika ini berlaku, maka Insya Allah, akan kekallah berkat itu.

    “Akan tetapi, cabaran untuk mengekalkan berkat itu tetap ada. Antaranya, dalam meniti arus kemodenan, teknologi AI di dunia siber kini menjadi semakin canggih dan digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia juga menyebabkan kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan,” tekan Baginda Sultan.

    Baginda Sultan turut bertitah, segelintir masyarakat kini sanggup melakukan apa sahaja untuk menipu di mana AI digunakan sebagai cabang fitnah di media sosial. Sedikit demi sedikit, penyebaran fitnah di akhir zaman ini boleh menghakiskan keberkatan dengan melunturkan pegangan dan pengamalan agama Islam. Oleh itu, selamatkanlah diri kita daripada fitnah seumpama ini dengan memperkukuhkan iman dan ilmu pengetahuan agama yang kuat.

    “Maka bersempena kita memasuki Tahun Baru 1447 Hijrah ini, Beta ingin menyarankan supaya para da’ie dan penceramah agama akan terus mempromosikan langkah untuk mengekalkan berkat, supaya sama-sama kita, tanpa ada kecualinya, menghayati kehidupan beriman dan bertakwa yang membawa kepada berkat itu,” titah Baginda.

    Pada akhir titah Baginda Sultan sempena Tahun 1447 Hijrah, Baginda dan keluarga Baginda dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ilal Hijrah 1447 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini dan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat kepada kita dan negara berada dalam selamat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda