Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah guna jawatan antara kesalahan dikesan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Dua orang pekerja asing didapati melakukan kesalahan melanggar syarat-syarat kebenaran Lesen Pekerja Asing semasa Operasi Selongkar 23/2021 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh (LED) di beberapa buah kawasan di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, operasi yang bermula pada 8:50 pagi di Kampung Mabohai, telah mendapati seorang pekerja asing dipercayai berjawatan sebagai tukang jahit didapati melakukan pekerjaan sebagai pembantu pam minyak.

    Manakala semasa pemeriksaan yang dijalankan di salah sebuah kedai runcit menjual telefon bimbit di sebuah kompleks, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien telah mendapati pekerja asing berjawatan sah welding am melakukan pekerjaan sebagai buruh kedai yang bekerja di syarikat lain.

    Hasil operasi tersebut, Jabatan Buruh telah mendapati majikan dipercayai menempatkan pekerja asing bekerja tidak mengikut syarat-syarat kebenaran Lesen Pekerja Asing iaitu bekerja di syarikat lain dan penyalahgunaan jawatan.

    Kenyataan mengatakan, bagi kesalahan bekerja tidak mengikut kebenaran Lesen Pekerja Asing iaitu bekerja di syarikat lain dan penyalahgunaan jawatan dan jika sabit kesalahan, boleh diambil tindakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua mengikut kesalahan di bawah Bab 86 serta Bab 112.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja menurut kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan, pembayaran gaji tepat pada waktunya dan memberikan tempat tinggal yang bersih.

    Di samping itu, para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta dibawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk makluman lebih lanjut orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 semasa di luar waktu bekerja.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi di kawasan Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda