Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah guna jawatan, bekas pegawai narkotik dipenjara

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Bekas Penolong Pegawai Narkotik II, Muhammad Ali Iskandar bin Mustapha telah didakwa di hadapan Majistret Kanan, Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman pada 26 Disember 2024 atas lima pertuduhan di bawah Bab 12B, Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 dan dua pertuduhan yang diambil kira. Bab tersebut memperuntukkan hukuman denda sebanyak $30,000 dan penjara tujuh tahun.

    Muhammad Ali Iskandar telah mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan dikenakan hukuman penjara keseluruhan selama dua tahun dan lapan bulan oleh Majistret Kanan.

    Pihak pendakwa kemudiannya memfailkan rayuan terhadap hukuman atas dasar hukuman itu adalah terlalu ringan.

    Rayuan telah didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Haji Abdullah Soefri bin POKSM DSP Haji Abidin. Dalam rayuan tersebut, pihak pendakwa telah memohon agar mahkamah menimbangkan semula tahap kepentingan ciri-ciri yang serius dalam kes itu.

    Ciri-ciri tersebut termasuk tahap penyalahgunaan kedudukannya sebagai Penolong Pegawai Narkotik II di Biro Kawalan Narkotik (BKN), kekerapan berlakunya salah laku, jenis maklumat yang didedahkannya serta kesan keseluruhan daripada salah lakunya terhadap BKN, satu-satunya institusi yang diamanahkan untuk membanteras penggunaan, pembekalan dan pengedaran dadah haram di Negara Brunei Darussalam.

    Semasa menyampaikan penghakimannya pada 2 Oktober 2025, Pesuruhjaya Kehakiman menyatakan bahawa faktor-faktor yang serius dalam kes ini telah mendorong mahkamah berpendapat bahawa titik permulaan bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Muhammad Ali Iskandar seharusnya lebih hampir kepada hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah Bab 12B, iaitu hukuman penjara tujuh tahun.

    Beliau selanjutnya menekankan bahawa antara ciri yang paling serius dalam kes ini adalah penyalahgunaan kedudukannya sebagai pegawai narkotik untuk memperoleh manfaat peribadi, serta kesan keseluruhan daripada salah lakunya terhadap kepercayaan orang ramai dan keyakinan mereka terhadap integriti BKN.

    Pesuruhjaya Kehakiman seterusnya memerintahkan agar jumlah hukuman penjara ditambah sehingga mencapai keseluruhan tempoh empat tahun. Rayuan tersebut telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalillah binti Haji Hussin.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda