Saya mahu menegur tindakan segelintir pemilik kedai di kawasan komersial di Beribi yang meletakkan kon penghalang di tempat letak kereta awam seolah-olah ia adalah hak milik mereka.
Tindakan ini bukan sahaja tidak wajar, malah menyalahi undang-undang kerana ruang parkir sepatutnya boleh digunakan oleh semua orang secara adil.
Keadaan ini sering menimbulkan kesulitan kepada pelanggan dan pengguna lain yang ingin berurusan di kawasan tersebut.
Ada pemilik kedai yang sengaja meletakkan kon bagi ‘menempah’ petak parkir untuk kegunaan peribadi atau pelanggan mereka sahaja, sedangkan kawasan itu untuk orang awam.
Akibatnya, ramai pemandu terpaksa berpusing-pusing mencari tempat letak kereta, malah ada yang terpaksa meletak kenderaan di lokasi yang kurang sesuai dan berisiko dikenakan saman.
Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berbuat demikian.
Awang Justice
