LIVERPOOL, 1 Jan – Pengurus pasukan Liverpool Jurgen Klopp percaya pemain sayap Mohamed Salah boleh mengekalkan rentak jaringan bagi musim selebihnya.
Pemain antarabangsa Mesir itu telah menjaringkan 23 gol buat pasukan Liverpool dalam semua persaingan, yang menyamai rekod kelab tersebut pernah dicatatkan oleh Roger Hunt pada 1961/62 bagi jaringan terbanyak dalam kempen sebelum pertukaran tahun.
Salah berharap akan meneruskan rentak menariknya menentang Burnley di Turf Moor pada persaingan Tahun Baru, walaupun Klopp mendedahkan dia terlebih dahulu diperiksa oleh kaki tangan perubatan Liverpool untuk menilai kecederaannya.
Pemain berusia 25 tahun itu digantikan tujuh minit sebelum tamat perlawanan dalam kemenangan Liverpool 2-1 ke atas Leicester City Sabtu lalu setelah menjaringkan dua gol bagi membantu Reds kembali bangkit setelah ketinggalan satu gol dan menyelamatkan kutipan mata penuh.
“Dia dalam keadaan tempang dan ia bukanlah petanda yang bagus. Saya tidak tahu apa yang berlaku.
“Kami perlu melihat masalah tersebut bagi persaingan seterusnya,” kata Klopp.
“Tetapi Mo boleh mengekalkan standard itu. Ia bukan hanya mengenai jaringan, ia mengenai situasi lain. Dia begitu penting bagi kami.
“Dia tahu dan saya tahu dia tidak dapat menjaringkan gol tanpa sokongan pemain lain. Tetapi ya saya rasa dia boleh mengekalkan standard tersebut.”
Kemenangan Liverpool ke atas Leicester disaksikan oleh pemain yang baru ditandatangani Virgil van Dijk, yang perpindahannya bernilai 75 juta pound (AS$100 juta) dari Southampton akan dilengkapkan apabila jendela pertukaran dimulakan hari ini.
Pemain pertahanan Belanda itu tidak akan dapat bersaing menentang Burnley yang bermakna Klopp sekali lagi akan memilih dari Joel Matip, Ragnar Klavand an Dejan Lovren.
Klopp tidak merasakan ketibaan Van Dijk akan mencipta kegentaran di kalangan pemain pertahanan yang ada, walaupun tempat mereka terancam. – AFP