LIVERPOOL, 15 April – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp memuji gol Mohamed Salah yang dianggap menjadi kunci pasukan mencapai impiannya sekali gus meletakkan The Reds di tangga teratas liga selepas menewaskan Chelsea 2-0 di Anfield, semalam.
Skuad Klopp sebelum itu ketinggalan di tangga kedua selama dua jam selepas seteru utama mereka, Manchester City mengatasi Crystal Palace 3-1 dan terus menghangatkan perebutan gelaran liga.
Namun Liverpool bangkit menerusi jaringan Sadio Mane lima minit selepas rehat sebelum Salah menambah gol dua minit kemudian.
“Ia adalah jaringan menakjubkan daripada Mo. Saya dapat melihat beberapa jaringan terbaik,” kata Klopp. “Penyudah yang sangat bagus, jaringan terbaik, dia sangat bijak.
“Saya sangat bangga dengan pasukan ini. Ia prestasi yang sangat hebat. Saya bertuah dapat bersama dalam skuad ini.”
Dalam pada itu, City beraksi kurang satu perlawanan berbanding Liverpool yang berbaki empat perlawanan sebelum pemenang sebenar dapat ditentukan.
Namun suasana di Anfield dapat merasakan betapa Liverpool kian hampir menamatkan penantian 29 tahun untuk dijulang sebagai raja bola sepak Inggeris musim ini.
Klopp dilihat memiliki sedikit kelebihan apabila City bakal melayan pasukan kuat dengan menentang Tottenham dan Manchester United pada baki saingan mereka.
Liverpool pula bakal berdepan pasukan yang boleh meningkatkan peluang kejuaraan apabila melayan Cardiff, Huddersfield dan Newcastle sebelum bertemu Wolves di Anfield. – AFP