Friday, April 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah semakin hampir tandatangan kontrak baharu

    LONDON, 10 APRIL – Liverpool dilaporkan sedang membuat kemajuan dalam rundingan kontrak baharu untuk Mohamed Salah dan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris, kelab itu semakin yakin pemain bintang tersebut akan terus kekal di Anfield musim depan, menurut beberapa laporan kelmarin.

    Penyerang Mesir berusia 32 tahun itu bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini, bersama dua lagi rakan sepasukan, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold.

    Walaupun Alexander-Arnold sangat dikaitkan dengan perpindahan percuma ke Real Madrid, Van Dijk pula berkata selepas kekalahan 3-2 kepada Fulham pada Ahad bahawa rundingan mengenai kontrak baharunya sebagai kapten kelab sedang berjalan lancar.

    Difahamkan tiada perjanjian rasmi dimuktamadkan setakat ini, namun terdapat keyakinan bahawa Salah dan Van Dijk akan melanjutkan kontrak masing-masing.

    Salah kini merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 27 gol dan telah menjaringkan 243 gol dalam 394 penampilan sejak menyertai Liverpool dari Roma pada 2017.

    Beliau pernah menjuarai Liga Juara-juara Eropah bersama Liverpool dan turut membantu kelab tersebut menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun pada 2020, menjulang lapan trofi keseluruhan sepanjang berada di Merseyside.

    Pemain Terbaik Afrika dua kali itu pernah dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Arab Saudi, namun dia sentiasa menegaskan keutamaannya adalah untuk kekal bersama Liverpool.

    Pada November lalu, Salah menyatakan dia “mungkin lebih cenderung untuk pergi daripada kekal” di Liverpool sebelum menyatakan sebulan kemudian bahawa perjanjian itu ‘masih jauh’. – AFP

    Mohamed Salah melakukan latihan pemanasan sebelum perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Fulham dan Liverpool di Craven Cottage, London pada 6 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda