Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah tandatangani kontrak baharu bersama Liverpool

    LIVERPOOL, 11 APRIL – Mohamed Salah menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya dengan menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, hari ini.

    Salah, 32, telah menjaringkan 243 gol dalam 394 penampilan bersama The Reds sejak menyertai kelab itu dari Roma pada tahun 2017, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman Liverpool.

    Prestasinya menjadi tonggak utama dalam usaha Liverpool memburu gelaran ke-20 liga utama Inggeris musim ini, yang bakal menyamai rekod.

    “Sudah tentu saya sangat teruja. Kami mempunyai pasukan yang hebat sekarang. Sebelum ini juga kami ada pasukan yang kuat. Tetapi saya menandatangani kontrak ini kerana saya percaya kami berpeluang untuk memenangi trofi lain,” kata Salah dalam satu kenyataan kelab.

    “Ia sangat hebat, saya mengalami tahun-tahun terbaik saya di sini. Saya telah bermain selama lapan tahun dan saya harap ia akan menjadi sepuluh.”

    Salah telah menjaringkan 27 gol dan melakukan 17 bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, ketika Liverpool kini berada 11 mata di hadapan dengan hanya tujuh perlawanan berbaki dalam musim pertama Arne Slot sebagai pengurus.

    “Dia telah menunjukkan selama bertahun-tahun betapa bernilainya dia untuk kelab dan pasukan ini,” kata Slot. “Seperti semua penyokong kami dan rakan sepasukannya, kami sangat gembira dia telah menyambung kontrak selama dua tahun lagi. – AFP

    Mohamed Salah ketika meraikan jaringannya untuk gol kedua pasukan semasa perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA antara Liverpool dan Bologna yang berlangsung di Anfield, Liverpool, England pada 2 Oktober 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda