Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salah tinggalkan kem Mesir, kembali ke Anfield

    KAHERAH, 13 OKT — Kapten pasukan kebangsaan Mesir, Mohamed Salah, tidak akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Negara-negara Afrika menentang Mauritania minggu depan, menurut kenyataan kelabnya, Liverpool, kelmarin.

    Liverpool mengesahkan bahawa pemain berusia 32 tahun itu telah “dilepaskan lebih awal daripada tugasan antarabangsa sepanjang rehat Oktober ini.”

    Pada Jumaat, Salah menjaringkan satu gol ketika membantu Mesir mencatat kemenangan 2-0 ke atas Mauritania dan pada awalnya dijadualkan beraksi sekali lagi menentang lawan yang sama pada Selasa ini.

    Bagaimanapun, jurulatih Mesir, Hossam Hassan, memaklumkan kepada wartawan di Kaherah bahawa terdapat kebimbangan mengenai risiko kecederaan bermain di atas permukaan rumput tiruan di Mauritania.

    Juara Afrika tujuh kali itu berdepan saingan sengit daripada Mauritania sebelum Mahmoud ‘Trezeguet’ Hassan membuka jaringan pada minit ke-69 dalam perlawanan Kumpulan C.

    Salah kemudian memastikan kemenangan Mesir dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-79, sekali gus mengekalkan rekod sempurna mereka selepas tiga perlawanan.

    Mesir kini hanya memerlukan satu mata lagi untuk mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir, dengan kelebihan enam mata mendahului pencabar terdekat, Cape Verde, Botswana, dan Mauritania.

    Liverpool turut mengesahkan bahawa pemain pertahanan Belanda, Virgil van Dijk, juga telah dilepaskan lebih awal daripada tugasan antarabangsa.

    Van Dijk telah dilayangkan dua kad kuning dan dibuang padang dalam perlawanan seri 1-1 antara Belanda dan Hungary dalam saingan Liga Negara-negara UEFA. – AFP

    Salah ketika meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan Liga Juara-Juara di stadium Anfield di Liverpool, England, pada 2 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda