Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salebration kembali lagi 4 Disember ini

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Acara jualan murah kebangsaan yang dinanti-nantikan, Brunei Salebration (BSb) bakal kembali lagi bermula 4 Disember ini hingga 15 Februari 2024.

    Acara selama 74 hari anjuran Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu diadakan sebagai usaha bagi membantu merangsang aktiviti perekonomian dalam negara khasnya melalui promosi produk tempatan dan aktiviti-aktiviti pelancongan dalam negara.

    Sehubungan itu, JPES dalam kenyataan yang dikeluarkan, mengalu-alukan penyertaan para peniaga daripada pelbagai sektor untuk merebut peluang menawarkan diskaun menarik dengan harga yang kompetitif bagi barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai melalui penyertaan dalam acara berkenaan.

    Senarai peserta BSb 2023 akan dikongsikan dalam aplikasi mudah alih PenggunaBijak bagi tujuan publisiti serta bagi memudahkan para pengguna mengetahui peserta dan berkunjung ke premis-premis berkenaan.

    Para peniaga yang ikut serta perlu menjalankan perniagaan secara beretika dengan mematuhi Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah, Perintah Paparan Tanda Harga dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011.

    GAMBAR SERAHAN JPES

    Ia termasuk mempamerkan tanda harga dan diskaun dengan jelas bagi memastikan ketulusan harga serta membolehkan para pengguna membuat pilihan pembelian yang bermaklumat.

    Dalam pada itu, Notis Jualan BSb 2023 yang dikeluarkan oleh JPES hendaklah dipamerkan di setiap premis perniagaan masing-masing.

    Acara BSb tahun lalu telah menarik lebih daripada 400 buah premis perniagaan daripada pelbagai sektor termasuk gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai perabot, butik dan kasut, salon-salon kecantikan dan kesihatan, kedai-kedai buku dan sukan,
    kedai-kedai barangan kemas dan seumpamanya.

    Para peniaga yang berhasrat untuk menyertainya boleh menghadapkan Borang Makluman Jualan bermula hari ini sehingga 20 November. Borang boleh dimuat turun menerusi aplikasi PenggunaBijak dan laman sesawang JPES.

    Borang yang lengkap boleh dikembalikan melalui e-mel kepada sales@jpes.gov.bn atau terus ke kaunter Jabatan Hal Ehwal Pengguna JPES, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping Bandar Seri Begawan BA1131 Negara Brunei Darussalam.

    Sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada JPES melalui aplikasi PenggunaBijak dan e-mel kepada sales@jpes.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda