LONDON, 29 OKT – Dua pemain Arsenal, William Saliba dan Gabriel Martinelli akan terlepas perlawanan pusingan keempat Piala Liga menentang Brighton akibat kecederaan.
Pemain pertahanan Perancis, Saliba terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama kerana kecederaan yang tidak dinyatakan dalam kemenangan pendahulu Liga Perdana ke atas Crystal Palace Ahad lalu.
Manakala penyerang Brazil, Martinelli, terincut-incut akibat terjatuh selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menentang Palace.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, yang mendedahkan Declan Rice akan tersedia untuk menentang Brighton.
Kehilangan dua pemain utama itu untuk tempoh yang lama akan menjadi satu masalah besar apabila Arsenal berusaha untuk memenangi gelaran Liga Perdana pertama sejak 2004 dan juara Liga Juara-juara yang pertama.
Kelab utara London itu telah kehilangan Martin Odegaard, Kai Havertz, Noni Madueke dan Gabriel Jesus kerana kecederaan.
“Dia tidak dapat bermain. Kami sedang menilainya tetapi dia tidak akan menyertai perlawanan ini,” kata Arteta mengenai Saliba kelmarin.
“Nampaknya Martinelli juga tidak akan dapat bermain. Kami perlu melakukan beberapa ujian lagi dan mengenal pasti tahap kecederaannya,” tambahnya. – AFP


