Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Seramai 10 orang ibu tunggal dan mereka yang kurang berkemampuan dari Kampung Sungai Besar telah menerima sumbangan berbentuk makanan asasi daripada Takmir Masjid Kampung Sungai Besar pada majlis penyampaian sumbangan di masjid berkenaan, kelmarin.
Hadir menyampaikan sumbangan tersebut kepada para penerima ialah Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pangarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Sumbangan berkenaan merupakan salah satu kegiatan berkebajikan sebagai tanda prihatin dan pemedulian takmir masjid berkenaan dalam sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan di kampung itu.
Setiausaha takmir masjid tersebut, Haji Zaini bin Haji Awang Damit pada majlis itu melahirkan harapan agar sumbangan itu menjadi pendorong kepada masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan penduduk kurang bernasib baik khususnya di kampung itu.
Beliau seterusnya berharap sumbangan berkenaan juga akan dapat membantu meringankan beban mereka dalam kehidupan seharian.
Majlis itu juga merupakan salah satu program yang disusun bagi meraikan Hari Ulang Tahun Perasmian Masjid Kampung Sungai Besar yang ke-37 tahun.
