KATHMANDU, 17 JUN – Jutaan orang yang bergantung kepada pencairan salji di Himalaya sebagai sumber air menghadapi risiko kekurangan yang ‘sangat serius’ tahun ini selepas kawasan itu mengalami kadar salji terendah, saintis memberi amaran hari ini.
“Ini adalah satu kejutan kepada penyelidik, penggubal dasar dan komuniti setempat,” kata penulis laporan Sher Muhammad, dari Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD) yang berpangkalan di Nepal.
“Pengumpulan salji yang lebih rendah dan paras salji yang turun naik menimbulkan risiko kekurangan air yang sangat serius terutamanya tahun ini,” tambahnya.
Salji dan ais di Himalaya merupakan sumber air penting untuk kira-kira 240 juta orang di kawasan pergunungan itu, serta untuk 1.65 bilion orang lagi di lembah sungai di sekitarnya, menurut ICIMOD.
Walaupun paras salji turun naik setiap tahun, saintis berkata perubahan iklim mendorong hujan yang tidak menentu dan mengubah corak cuaca.
Laporan itu mengukur ‘ketahanan salji’ iaitu masa salji kekal di atas tanah dengan paras menurun hampir satu perlima di bawah paras normal untuk tahun ini di seluruh wilayah Hindu Kush dan Himalaya yang lebih luas.
“Ketahanan salji tahun ini (18.5 peratus di bawah normal) adalah yang kedua terendah dalam tempoh 22 tahun lalu, mengekori rekod terendah iaitu 19 peratus direkodkan pada 2018,” kata Muhammad kepada AFP.
Miriam Jackson, seorang pakar kriosfera di ICIMOD menggesa pihak berkuasa untuk “mengambil langkah proaktif untuk menangani kemungkinan situasi kemarau”. – AFP


