Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salji lebat jejas pengangkutan timur-tengah China

    WUHAN, 4 FEB – Salji lebat telah turun di beberapa kawasan di tengah dan timur China sejak Rabu lalu, membawa kepada gangguan pengangkutan di wilayah Hubei, Hunan dan Anhui di tengah-tengah kesesakan perjalanan Festival Musim Bunga.

    Di wilayah Anhui di timur China, lebih 95 buah stesen tol lebuh raya tidak membenarkan kemasukan kenderaan setakat pagi ini, disebabkan keadaan bersalji dan cuaca sejuk, menimbulkan ketidakselesaan ramai pengembara semasa perjalanan yang semakin meningkat, juga dikenali sebagai ‘chunyun,’ yang bermula pada 26 Januari dan akan berakhir pada 5 Mac.

    Menurut Syarikat Hubei Airports Group, kedua-dua landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe ditutup mulai petang kelmarin, berikutan keadaan cuaca buruk.

    Lapangan terbang itu memulakan respons kecemasan untuk pemindahan salji dan ais pada awal pagi kelmarin, di mana landasan dijangka beroperasi semula hari ini.

    Selain itu, lapangan terbang di bandar Jingzhou di wilayah itu juga telah ditutup sejak kelmarin.

    Gambar Freepik

    China Railway Wuhan Bureau Group Co. Ltd. berkata hari ini, ia merancang untuk menggantung operasi 141 perjalanan ulang alik berikutan salji lebat dan cuaca amat sejuk di kebanyakan kawasan.

    Sementara itu, pihak berkuasa kereta api telah mengaturkan hampir 3,000 orang pekerja untuk melakukan pembersihan salji di hampir 4,000 landasan kereta api untuk memastikan landasan kereta api berfungsi dengan lancar.

    Di wilayah jiran, Hunan, pihak berkuasa kereta api mengenakan had kelajuan ke atas kereta api berkelajuan tinggi Chongqing-Xiamen dan Zhangjiajie-Jishou-Huaihua, menyebabkan beberapa buah kereta api mengalami kelewatan.

    Dari hari ini hingga Isnin, China Railway Guangzhou Group Co. Ltd., menggantung 20 buah perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang melalui wilayah itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda