ULAN BATOR, 16 OKT – Salji luar biasa lebat menyelubungi sebahagian besar kawasan di Mongolia, menurut Agensi Meteorologi dan Pemantauan Alam Sekitar Kebangsaan, hari ini.
Sejak Selasa, salji dan ribut salji melanda wilayah barat Uvs dan Khovd serta kawasan tengah negara itu, termasuk ibu negara Ulan Bator, dengan kelajuan angin mencecah sehingga 16 meter sesaat.
Jumlah purata taburan salji di kawasan terjejas ialah antara 40 hingga 80 sentimeter, manakala kedalaman salji di kawasan pergunungan mencapai sehingga 180 sentimeter.
Suhu di kawasan tersebut dijangka menjunam sehingga paras -15 darjah Celsius susulan salji lebat itu.
Jabatan meteorologi meramalkan angin kencang dan salji akan terus melanda sebahagian besar negara itu sehingga hujung minggu, sambil menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi menghadapi kemungkinan bencana. – Bernama


