SANTIAGO, 27 JUN – Penduduk gurun paling kering di dunia, Atacama di utara Chile, dikejutkan pagi kelmarin dengan satu pemandangan yang menakjubkan: landskapnya yang terkenal seperti permukaan bulan diselubungi salji.
“LUAR BIASA! Gurun Atacama, yang paling gersang di dunia, DILIPUTI SALJI,” kata balai cerap ALMA yang terletak pada ketinggian 2,900 meter dari paras laut dalam hantaran di X, bersama video kawasan luas diliputi salji nipis berwarna putih.
Balai cerap itu menjelaskan bahawa salji adalah perkara biasa di Dataran Tinggi Chajnanator berdekatan yang terletak lebih 5,000 meter dari paras laut dan menempatkan teleskop gergasi mereka. Namun, kemudahan utama mereka tidak pernah mengalami kehadiran salji sejak sedekad lalu.
Ahli klimatologi dari Universiti Santiago, Raul Cordero memberitahu AFP masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian salji itu dengan perubahan iklim, namun model iklim menunjukkan bahawa ‘kejadian seperti ini, iaitu hujan atau salji di gurun Atacama, berkemungkinan akan menjadi lebih kerap.’
Gurun Atacama, yang juga terkenal dengan langit paling gelap di dunia, sejak beberapa dekad telah menjadi lokasi pilihan saintis dan astronomi untuk memasang teleskop paling canggih di dunia.
Teleskop ALMA yang dibangunkan oleh Balai Cerap Selatan Eropah, Balai Cerap Radio Astronomi Kebangsaan Amerika Syarikat dan Balai Cerap Astronomi Kebangsaan Jepun, kini diiktiraf sebagai teleskop paling berkuasa. – AFP


