LONDON, 5 JAN – Salji tebal yang melanda sebahagian kawasan England hari ini telah menyebabkan gangguan perjalanan udara, dengan landasan ditutup di lapangan terbang Bristol dan Liverpool.
Pejabat Meteorologi memaklumkan bahawa Bingley, di utara England, menerima salji setebal 12 sentimeter sepanjang malam.
Amaran cuaca jingga – kategori kedua paling serius – telah dikeluarkan bagi salji dan hujan beku di kebanyakan kawasan Wales, England tengah, serta sebahagian barat laut England.
Kawasan tanah tinggi di Wales dan utara England dijangka menerima salji sehingga 30 sentimeter, manakala beberapa komuniti luar bandar di kawasan melebihi 300 meter berkemungkinan terputus hubungan dengan salji setebal 40 sentimeter, menurut Pejabat Meteorologi.
Lapangan terbang Manchester dan Liverpool John Lennon di barat laut England telah menutup landasan mereka hari ini.
Lapangan terbang Birmingham pula menggantung operasi selama beberapa jam pada malam sebelumnya untuk membersihkan salji dari landasan tetapi dijangka kembali beroperasi seperti biasa hari ini.
Lapangan terbang Bristol telah dibuka semula sekitar jam 11 malam kelmarin, namun pihak pengurusan memberi amaran kemungkinan kelewatan disebabkan pesawat berada di lokasi yang tidak sesuai.
National Grid memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk memulihkan bekalan elektrik yang terputus di England tengah, barat daya, dan selatan Wales. – AFP