BELGRADE, SERBIA, 4 APRIL – Kejadian luar biasa cuaca musim sejuk pada musim bunga melanda Balkan Barat hari ini, membawa salji dan angin kencang yang menggangu lalu lintas di wilayah itu.
Penduduk di ibu negara Serbia, Bosnia dan Kosovo terkejut melihat pokok-pokok dan semak yang diselubungi salji.
Di Croatia dan Montenegro, angin kencang menghentikan kebanyakan laluan feri di sepanjang pantai Laut Adriatik dan menangguhkan penerbangan dari Podgorica ibu kota Montenegro ke Belgrade.
Suhu juga turun kepada sekitar atau di bawah 0 darjah Celsius (32F) di seluruh wilayah yang biasanya menikmati cuaca lebih panas pada bulan April.
Pihak berkuasa di Serbia berkata bahawa dahan pokok tumbang menimpa dua remaja perempuan di Belgrade, kemungkinan disebabkan oleh salji yang basah dan berat. Kanak-kanak perempuan itu dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Salji menyekat beberapa jalan di selatan dan barat daya Serbia serta beberapa kampung terputus bekalan elektrik, disarankan supaya berhati-hati, kata polis dalam satu kenyataan.
Ranting pokok yang tumbang juga merosakkan kereta yang diletakkan di beberapa lokasi di sekitar Belgrade mencetuskan lalu lintas yang teruk pada waktu pagi yang sibuk.
Beberapa jam sebelum itu, sebuah bas yang membawa pekerja untuk syif pagi tergelincir dari jalan yang dilitupi salji, mencederakan 18 orang, kata televisyen RTS negeri.
Televisyen HRT negara Croatia melaporkan bahawa angin kencang melumpuhkan lalu lintas laut sambil turut mencetuskan larangan untuk semua kenderaan kecuali kereta kecil di jalan raya pantai. – AP