TOKYO, 8 JAN – Agensi Cuaca Jepun hari ini mengeluarkan amaran susulan ramalan salji tebal di wilayah utara dan barat negara itu, terutama di kawasan pesisir Laut Jepun yang dijangka berterusan sehingga Jumaat, lapor Xinhua.
Menurut agensi meteorologi Jepun (JMA), dalam tempoh 24 jam hingga pagi esok, wilayah Niigata, kawasan Hokuriku dan Tohoku serta wilayah Gifu dijangka menerima salji setinggi 70 sentimeter (cm). Sementara itu, kawasan Chugoku dijangka menerima salji setinggi 50cm, Hokkaido 40cm, wilayah Kinki 35cm, wilayah Yamaguchi dan Shikoku masing-masing 20cm, manakala Kyushu utara 5cm.
Bagi tempoh 24 jam berikutnya hingga pagi Jumaat, salji setinggi 70cm diramal melanda wilayah Niigata, kawasan Hokuriku dan Tohoku, wilayah Gifu dan Chugoku, 50cm di Hokkaido dan Kinki, 30cm di wilayah Yamaguchi dan Shikoku serta 7cm di Kyushu utara, menurut JMA. – Bernama