JOHANNESBURG, 10 JULAI – Salji telah turun menyelubungi Johannesburg dan kawasan tinggi lain di Afrika Selatan hari ini, sesuatu yang jarang berlaku dengan perkhidmatan cuaca memberi amaran kemungkinan penutupan jalan dan suhu sejuk yang berbahaya.
Penduduk di hab perniagaan itu terjaga dengan salji yang melapisi bumbung dan taman setelah udara sejuk yang melanda negara itu lewat minggu lalu berubah menjadi sistem cuaca yang dipanggil ‘cutoff low’.
Di sebuah tadika di Johannesburg, kanak-kanak yang teruja membuat bola salji dan cuba menangkap emping salji dengan lidah mereka. Sesetengah daripada mereka belum pernah melihat salji sebelum ini.
“Kali terakhir kami melihat cuaca seperti ini pada 2012,” kata Puseletso Mofokeng, peramal kanan di Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan (SAWS), kepada AFP.
Mofokeng berkata salji dilaporkan merentasi bahagian selatan wilayah Gauteng di Johannesburg dan dijangka terus turun sepanjang hari, yang juga melanda kawasan tinggi di wilayah Eastern Cape dan KwaZulu-Natal.
“Jalan raya mungkin ditutup,” katanya.
Johannesburg terletak pada ketinggian lebih daripada 1,700 meter dan berada di puncak musim sejuk di hemisfera selatan.
Namun, salji di bandar itu merupakan kejadian yang jarang berlaku – sebelum 2012, salji lebat turun pada 1996, kata Mofokeng. – AFP
